fbpx

Pengarah syarikat didakwa pecah amanah dana MITRA RM5.18 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
L. Ragu Raman (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah dana MITRA berjumlah RM5.18 juta, tahun lalu. /FOTO ZULFACHRI ZULKIFLI.

IPOH – Seorang pengarah syarikat bergelar datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM5.18 juta, tahun lalu.

Tertuduh, L. Ragu Raman, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku pengarah syarikat Ternakan Kamran Sdn. Bhd. didakwa melakukan pecah amanah jenayah berkaitan dana MITRA membabitkan wang masing-masing berjumlah RM3,562,725.86, RM300,000, RM500,000, RM300,000, RM400,000 dan RM120,000.

Bapa kepada seorang anak lelaki berusia 15 tahun itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di CIMB Bank Cawangan Teluk Intan pada 19 Januari dan 18 Ogos 2021.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan menawarkan jaminan RM100,000 bagi semua pertuduhan namun peguam S. Preakash yang mewakili tertuduh memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM20,000.

M. Bakri kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM50,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan di mana pasport lelaki terbabit diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan 21 April ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI