fbpx
NOR HIDAYAH lega keputusan saman terhadap Ali Puteh memihak kepadanya.

Nor Hidayah lega, Ali Puteh akur keputusan mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – “Saya sudah rasa lega.”

Demikian respons ringkas balu Allahyarham Abam Bocey iaitu Siti Norhidayah Mohd Ali selepas menang kes saman fitnah yang dfailkan adik iparnya, Ali Puteh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, dia juga meminta orang ramai menitipkan segala doa yang baik untuk diri dan juga anaknya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

“Doakan yang baik-baik untuk saya dan anak,” katanya dalam nada sebak.

Akur dengan keputusan tersebut, Ali Puteh bagaimanapun masih akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi bagi membetulkan beberapa fakta yang kurang tepat.

“Alhamdulillah hari ini selesai keputusan mahkamah. Saya akur dengan keputusan hari ini tetapi saya akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi kerana terdapat fakta yang tidak tepat.

“Saya tidak boleh kongsi fakta tersebut kerana akan mengganggu proses rayuan. Apapun keputusan hari ini, saya okey, tidak ada rasa nak marah atau mengamuk,” katanya kepada media.

Ditanya mengenai kecaman netizen, dia memberitahu sudah bersedia untuk melaluinya selepas ini.

Katanya, kebanyakan netizen yang menghentam dan mengecamnya tidak mengetahui kronologi sebenar kes saman yang berlaku antara dirinya dan Nor Hidayah.

“Perkara ini sudah dua tahun berlalu dan saya sudah bersedia dengan kecaman netizen. Saya sudah tiada masalah dengan netizen sebab saya tahu semua yang berlaku.

“Masyarakat netizen yang menghentam saya bahawa saya yang menyaman, sebenarnya yang memulakan ialah Nor Hidayah
saman ini bermula 15 hari selepas arwah Abam meninggal.

“Saya dituntut ganti rugi am sebanyak RM900,000 dan saya sudah diberi notis untuk diheret ke mahkamah. Kemudian saya perlu jawab dan menghantar saman balas. Hakikatnya bukan saya memulakan saman,” jelasnya lagi.

Hari ini, Ali diperintah membayar RM60,000 kepada kakak iparnya, Norhidayah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung kenyataan aib di laman sosial Instagram dua tahun lalu.

Pada Mei 2020, Siti Norhidayah, 29, telah memfailkan saman fitnah terhadap Ali Puteh, 34, berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu di akaun Instagramnya yang antara lain menggambarkan dirinya seorang yang tidak bertanggungjawab.

Wanita terbabit memohon ganti rugi am, teladan atau punitif dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Dia juga memohon satu perintah injunksi bagi menghalang adik iparnya menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya, kod dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu dalam prosiding sama, mahkamah menolak saman fitnah yang dikemukakan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya lain terhadap Siti Norhidayah dan usahawan kosmetik Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dengan kos sebanyak RM13,000.

Dalam saman itu, Ali Puteh bersama, bapanya, Syed Mohd. Ridzuan Syed Hassan, 65; ibunya, Allahyarham Sabariah Arshad, 63; dan kakak sulungnya, Sharifah Norwahidah Syed Mohd. Ridzuan, 42, pada Julai 2020 memfailkan saman fitnah terhadap Aliff Syukri dan Siti Norhidayah berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung di akaun YouTube usahawan kosmetik itu.

Temu bual itu didakwa telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnah Ali Puteh sekeluarga selaku plaintif.

Sehubungan itu, Ahli Puteh dan keluarganya memohon satu perintah menghalang Aliff Syukri dan Siti Norhidayah daripada mengeluarkan sebarang pernyataan fitnah.

Mereka juga memohon agar kedua-dua individu itu membuat permohonan maaf secara terbuka, menarik balik dan memadamkan video temubual yang berbaur fitnah tersebut di kesemua media sosial milik Aliff Syukri.

Untuk rekod, Norhidayah dan Abam mendirikan rumah tangga di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam pada 8 Disember 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki. Tiga tahun kemudian, Abam Bocey disahkan meninggal dunia pada 10 Februari 2020. -KOSMO! ONLINE

POPULAR