fbpx

Dua beranak tak mengaku salah miliki lebih 1,200 arak haram di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua beranak (baju merah dan ungu) mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki lebih 1,200 arak haram di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, di sini, hari ini.

KUALA PILAH – Dua beranak mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki lebih 1,200 arak haram di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Tertuduh, P. Aplanayara, 65, dan anaknya, A Kartik, 35, memohon dibicarakan selepas pertuduhan bersama yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh secara bersama pada 20 Februari 2020 kira-kira 9.30 malam di Taman Sri Geligor, Kuala Pilah, dengan disedari memiliki barang larangan itu yang ditemui di dalam premis (rumah) dengan nilai keseluruhan RM 3,494.40.

Bagi pertuduhan itu, mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh secara bersama pada 20 Februari 2020 kira-kira pukul 9.30 malam di sebuah premis Taman Sri Gelugor, memiliki barang berduti eksais yang tidak dibuktikan telah dibayar duti eksais dengan nilai duti eksais sebanyak RM13,01 1.60.

Bagi pertuduhan berkenaan, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 74(1)(iv)(A) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai duti eksais atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM), Sarah Abidah Abdul Jabbar menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Nurul aina Ardilla Abdul Halim.

Peguam tertuduh dalam rayuannya meminta jaminan dikurangkan dengan alasan kedua-dua tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak Jabatan Kastam.

Kartik yang hanya bekerja di kedai runcit mempunyai masalah kesihatan iaitu tahap potassium dalam badan yang rendah serta perlu menjalani rawatan setiap bulan di hospital dan pernah dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU) sebanyak dua kali.

Manakala, Aplanayara pula merupakan pesakit diabetes serta darah tinggi dan mempunyai isteri yang turut mempunyai sakit tiroid.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan 16 Mac ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI