fbpx

4 suspek kutip wang perlindungan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

AMPANG – Tindakan empat lelaki meminta wang perlindungan di sebuah restoran sekitar Taman Melawati mengundang padah selepas kesemua mereka ditahan di restoran berkenaan semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, keempat-empat suspek merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 27 hingga 44 tahun.

“Siasatan awal mendapati, kesemua suspek telah meminta wang perlindungan bulanan dengan bayaran seikhlas hati dan ini merupakan kali pertama mereka berbuat demikian.

“Tindakan suspek telah mendatangkan ketakutan terhadap pemilik premis sebelum sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Ampang Jaya tiba untuk menahan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, polis turut merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit (3), sebuah kereta dan satu sampul surat yang mengandungi wang tunai.

“Hasil semakan mendapati, salah seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau sementara ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah.

“Kesemua suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI