fbpx
Kita boleh mengamal atau tidak bacaan Yasin untuk orang hampir mati. – Gambar hiasan

Tanya Mufti: Digalak baca Yasin untuk mereka yang hampir mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam masyarakat kita sering diajar membaca Surah Yasin untuk orang yang hampir meninggal. Adakah terdapat hadis dalam perkara ini?

Jawapan:
Di sana ada hadis menyebut “Bacalah Yasin untuk mautakum (orang yang hampir mati).” (Riwayat Ahmad, al-Nasai, Abu Daud, Ibn Majah dll). Hadis ini disahihkan oleh Ibn Hibban. Sebelum itu, al-Imam Abu Daud juga tidak mendaifkan hadis ini dalam sunannya.
Para muhahqiq (penganalisa) kala­ngan ulama hadis terma­suk al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) mendaifkan sanad hadis ini disebabkan padanya dua rawi yang majhul (tidak diketahui latar). (lihat: al-Nawawi, Al-Azkar, m.s 204.Damsyik: Maktabah al-Ghazali).
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (me­ninggal 852H) dalam Talkhis al-Habir juga menyimpulkan, sanadnya daif sebab majhulnya dua rawi iaitu Abu Uthman dan bapanya. Bahkan berlaku kecelaruan dalam sanad al-Nasai dan Ibn Majah tidak menyebut bapanya dalam sanad.
Pun begitu, al-Hafiz Ibn Hajar kemudian menyebut riwayat-riwayat lain yang menyokong amalan bacaan Yasin kepada yang hampir meninggal. (lihat: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Talkhis al-Habir, 2/244. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Maka, khilaf dalam penentuan taraf hadis ini sejak sekian lama. Walaupun kelihatan dari segi teknikal ilmu hadis, riwayat ini daif, namun amalan salafussoleh menyokong isi kandungan riwayat itu. Ini memberikan nilai tambah secara tidak langsung pada isi kandungannya.
Maka seseorang boleh memilih pendapat yang diyakini sama ada mengamalkannya atau tidak.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h. juga berpendapat, bacaan Surah Yasin ke atas mereka yang hampir mati itu digalakkan. (lihat: IbnTaimiyyah, al-Fatawa al-Kubra, 5/363. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Maka, kita tidak perlu membantah jika ada yang mengamalkannya dan juga tidak perlu dipertikaikan sekiranya ada yang tidak mengamalkannya.
Suka diingatkan, tafsiran yang terpilih bagi perkataan mautakum dalam hadis tersebut ialah orang yang hampir mati, bukan yang sudah meninggal dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN