fbpx
BINAAN struktur-struktur daripada jerami dengan latar panorama bak ladang gandum di Ulu Sedaka, Yan ini menggamit kehadiran pengunjung.–SHAHIR NOORDIN

Tarikan pesta arca jerami padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INISIATIF penganjuran Pesta Jerami Gulung Castle@Wateb atau dikenali sebagai Pesta Jerami Castle yang berlangsung di Ulu Sedaka, Yan, Kedah bertujuan mendidik petani melupuskan jerami secara lestari.

Ia yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dengan kerjasama Persatuan Peladang Kawasan Sungai Limau Dalam dan Warung Tepi Bendang (Wateb) menjadikan kawasan sawah padi seolah-olah seperti ladang gandum yang dituai di Amerika Syarikat.

Pesta pertama kali diadakan itu telah berjaya menarik kedatangan pelancong atau pelawat ke daerah Yan dan Kedah secara amnya dan dicadangkan untuk dijadikan acara tahunan.
———————————————————————————————————————————————–
SEKALI imbas, suasana sawah padi seluas 1.1 hektar itu tidak ubah seperti panorama ladang gandum yang baru dituai di negara Barat.

Apa tidaknya, kawasan sawah yang sering dipenuhi pokok padi berwarna hijau atau kuning bertukar menjadi keemasan seluas mata memandang.

Malah, sawah yang sering digenangi air dan berselut itu bertukar kering- kontang ekoran musim kemarau panjang di kawasan tersebut.

Tambah menarik, jerami atau lebihan pokok padi yang dituai telah digulung sebesar satu meter menjadi ketulan sebelum disusun menjadi pelbagai struktur bertema.

Pemandangan tersebut hanya boleh disaksikan di Pesta Jerami Gulung Castle@Wateb atau dikenali sebagai Pesta Jerami Castle yang berlangsung di Ulu Sedaka, Yan, Kedah baru-baru ini.

Pesta pertama kali diadakan itu telah berjaya menarik kedatangan pelancong atau pelawat ke daerah Yan dan Kedah secara amnya.

Salah seorang pengunjung Pesta Jerami Castle, Shahrul Ambri Samsudin, 35, berkata, dia sangat teruja melihat struktur-struktur jerami di situ.

Jelasnya, binaan struktur atau arca itu telah membantu mewujudkan pemandangan indah di kawasan berkenaan yang berlatarkan Gunung Jerai menghijau.

ORANG ramai mengambil peluang bergambar dan melihat dari dekat struktur yang dibina di Pesta Jerami Castle.

“Kebetulan cuti, jadi saya bawa anak-anak berkunjung ke Pesta Jerami Castle. Ia satu inisiatif yang sangat baik daripada penduduk tempatan di sini.

“Saya begitu teruja melihat jerami ini dijadikan struktur bertema sekali gus menjadi spot buat pelawat bergambar kenangan.

“Ia tidak ubah seperti di sebuah ladang gandum,” katanya ketika ditemu bual K2 mengenai pesta unik itu yang sedang berlangsung. Pesta tersebut diadakan sejak 1 Februari lalu.

Shahrul Ambri yang berasal dari Alor Setar menambah, panorama di pesta berkenaan lebih indah menjelang waktu senja iaitu ketika matahari terbenam.

Pesta Jerami Castle dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dengan kerjasama Persatuan Peladang Kawasan Sungai Limau Dalam dan Warung Tepi Bendang (Wateb).

Pengurus Wateb, Mohd. Faizal Mat Desa memaklumkan, tujuan utama Pesta Jeram Castle diadakan adalah untuk menarik kunjungan pelawat ke kawasan Ulu Sedaka, Yan.

Jelasnya, pihaknya telah melakukan perbincangan selama hampir dua bulan dengan MADA bagi memastikan pesta berkenaan berjalan seperti dirancang.

“Hasil perbincangan, kami bersetuju untuk menganjurkan pesta ini di petak sawah milik bapa saya yang berhadapan dengan kedai makan diusahakan oleh kami sekeluarga.

“Pesta ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Wateb, malah ia mampu menjana pendapatan sampingan masyarakat setempat menerusi jualan produk hiliran kepada pengunjung,”katanya.

Mohd. Faizal yang juga seorang guru menambah, bagi menjayakan pesta berkenaan, bapa dan adiknya telah membina sendiri 15 buah struktur bertema daripada jerami.

Jelasnya, mereka mengambil masa selama hampir dua minggu untuk menggulung sekitar 30 jerami sebesar satu meter sebelum disusun mengikut tema.

“Terus terang cakaplah, kami memang tidak ada pengalaman untuk gulung jerami ini. Lagipun, proses menggulungnya perlu dilakukan dengan cermat, jika tersilap langkah mungkin tidak jadi.

“Jerami yang telah digulung, kami susun untuk hasilkan struktur menara dan Jambatan Pulau Pinang. Jerami ini juga kami guna untuk buat struktur buaian dan orang-orang.

“Kami mencantikkan lagi struktur bertema ini dengan meletakkan papan tanda seperti I Love Yan, Biar Jasa Jadi Kenangan, MADA, #Wateb, Ulu Sedaka serta bendera Kedah dan Malaysia,” jelasnya lagi.

KANAK-KANAK memanjat salah satu struktur jerami dan duduk di atasnya.

Antara aktiviti lain ditawarkan di Pesta Jerami Castle adalah bersiar-siar menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), berkuda dan gerai jualan.

Pengunjung juga berpeluang menikmati aneka sajian popular tempatan di Wateb seperti mi rebus, bihun sup, laksa dan aneka nasi goreng.

Menurut Mohd. Faizal, pihaknya sangat berpuas hati dengan jumlah pelawat ke pesta berkenaan yang dianggarkan sekitar 3,000 sehari dan bertambah sekali ganda pada hujung minggu.

“Kedudukan pesta ini di tepi jalan utama telah menyumbang kepada kehadiran pengunjung yang ramai. Kemasukan percuma serta kemudahan parkir juga menyumbang kehadiran pelawat.

“Kebanyakan pelawat datang untuk bergambar serta berswafoto sambil bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan. Ada juga yang datang ke sini untuk tunggu pemandangan matahari terbenam,” katanya.

Pada masa sama, pesta tersebut juga menjadi lokasi penganjuran perhimpunan traktor, bekho, pertunjukan paramotor, motocross serta persembahan lukisan dan steelwool.

Mohd. Faizal memaklumkan, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana persatuan atau kelab untuk menganjurkan program bersesuaian di tapak pesta berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Besar MADA, Kamaruddin Dahuli berkata, Pesta Jerami Castle diwujudkan bagi mendidik para petani supaya tidak membakar jerami sehingga menjejaskan alam sekitar.

Katanya, dianggarkan lebih 600,000 tan jerami setahun dihasilkan oleh para petani yang berada di bawah naungan MADA merangkumi kawasan Kedah dan sebahagian Perlis.

Beliau menambah, ratio satu tan padi dituai petani menghasilkan satu tan jerami yang selalunya dilupuskan menerusi kaedah pembakaran.

PESTA unik ini mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Sebelum ini, jerami ini dibakar sahaja. Ia tidak salah sekiranya ingin menghapuskan habitat haiwan perosak. Tetapi, kalau bakar saja-saja, ia tidak praktikal kerana menjejaskan alam sekitar.

“Ada juga kes disebabkan pembakaran jerami rumah terbakar dan menjadi penyebab kemalangan. Menerusi pesta ini, kami ingin mendidik petani supaya melupuskan jerami secara lestari. Kami ingin beritahu petani bahawa jerami ini boleh dikumpul untuk dijadikan makanan haiwan ternakan seperti lembu atau baja kompos,” terangnya.

Kamaruddin memaklumkan, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menjadikan Pesta Jerami Castle di Ulu Sedaka, Yan sebagai acara tahunan.

Jelasnya lagi, pihaknya juga berkemungkinan akan memanjangkan lagi tempoh pesta berkenaan yang dijangka berakhir 12 Februari ini sekiranya mendapat sambutan menggalakkan.

“Kami mungkin akan jadikan pesta ini sebagai acara tahunan di sini seperti Pesta Angin Timur yang diadakan di Mata Air, Perlis.

“Pesta ini berlangsung 12 hari sahaja, tetapi ia bergantung pada sambutan. Paling lama, saya rasa sehingga akhir bulan ini bagi membolehkan petak dibajak untuk penanaman semula padi,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN