fbpx

PPS terakhir insiden kebakaran di Pulau Burung ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SEBERANG PERAI – Pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah, Nibong Tebal di sini bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung ditutup hari ini.

Difahamkan, seramai tujuh penduduk dari Ladang Byram yang masih ditempatkan di PPS itu turut dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dalam satu kenyataan berkata, penduduk dibenarkan pulang apabila cerapan terkini dan ulasan teknikal Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mendapati kualiti udara di sekitar kawasan Ladang Byram bertambah baik dan kembali pulih.

Kenyataan itu berkata, operasi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah SPS juga akan ditamatkan pada hari ini.

“Namun begitu, pihak syarikat konsesi pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung dan Majlis Bandaraya Seberang Perai akan meneruskan kerja-kerja penutupan Fasa 1 dan 2 hingga selesai di bawah pemantauan secara berkala oleh JAS Pulau Pinang.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah SPS mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi persekutuan dan negeri yang telah membantu dalam operasi bencana ini. Komitmen tinggi semua pihak dalam menyelesaikan urusan ini amat dihargai,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, akhbar melaporkan penduduk Kampung Kebun Baru, Nibong Tebal di sini yang diarahkan berpindah baru-baru ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kelmarin selepas kira-kira dua minggu ditempatkan di rumah saudara mara dan dua PPS iaitu SK Saujana Indah dan SK Bakap Indah.

Dalam kejadian sejak kira-kira 3 minggu lalu itu, kira-kira 11.3 hektar tapak pelupusan sampah di Pulau Burung yang keseluruhannya seluas 16.2 hektar dilaporkan terbakar.

Kejadian itu menyebabkan sebanyak 86 keluarga dengan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berdekatan kawasan itu terpaksa dipindahkan bagi memastikan keselamatan nyawa mereka selain sepuluh buah sekolah turut ditutup tiga hari.

Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri menamatkan operasi pada hari ke-20 insiden itu selepas kebakaran tinggal 1 peratus. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI