fbpx

Jepun terima pencalonan pertama Filem Terbaik Oscars

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem Jepun, Drive My Car melakar sejarah tersendiri sebagai naskhah Jepun pertama dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik Academy Awards 2022.

INDUSTRI perfileman Jepun melangkah setapak ke hadapan apabila filem terbitan Negara Matahari Terbit itu berjudul Drive My Car menerima pencalonan Filem Terbaik dalam acara berprestij dunia, Academy Awards 2022.

Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan buat pertama kalinya, Drive My Car arahan sutradara, Ryusuke Hamaguchi itu menjadi filem pertama Jepun dicalonkan dalam penganjuran acara yang memasuki edisi ke-94 berkenaan.

Filem yang diadaptasi daripada cerita pendek tulisan novelis tersohor Jepun, Haruki Murakami itu turut menerima tiga pencalonan utama lain iaitu Pengarah Terbaik, Filem Cereka Antarabangsa Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Dalam pada itu, filem arahan Jane Campion, The Power of the Dog mendominasi edisi kali ini dengan 12 pencalonan sementara filem sains fiksyen epik, Dune menerima sebanyak 10 pencalonan.

Filem muzikal, West Side Story arahan Steven Spielberg dan naskhah separuh-biografi bernuansakan drama komedi, Belfast  masing-masing menerima tujuh pencalonan.

Filem lakonan ‘Doctor Strange’ kesayangan ramai, Benedict Cumberbatch iaitu The Power of the Dog menerima 12 pencalonan sekali gus mendominasi senarai pencalonan Academy Awards 2022 yang diumumkan semalam. 

Ke semua filem yang disebutkan tersebut akan berentap dalam kategori utama iaitu Filem Terbaik di samping lima naskhah lain iaitu Coda, Don’t Look Up, King Richard, Licorice Pizza dan Nightmare Alley.

Bagi kategori lakonan, kejutan berlaku apabila Lady Gaga yang disebut-sebut bakal menerima pencalonan Pelakon Wanita Terbaik buat kali kedua terpaksa akur apabila pihak Academy mengumumkan lima calon akhir bagi kategori tersebut iaitu Jessica Chastain, Olivia Colman, Penelope Cruz, Nicole Kidman dan Kristen Stewart.

Gagal menerima pencalonan Oscar edisi kali ini, Gaga bagaimanapun dicalonkan dalam acara perfileman besar lain dalam kategori pelakon wanita terbaik iaitu Critics Choice Awards, Golden Globes, Screen Actors Guild Awards dan BAFTA Film Awards hasil lakonan mantap dalam filem House of Gucci memainkan karakter Patrizia Reggiani.

Pada 2019, Gaga mencatat sejarah sebagai wanita pertama di dunia yang dicalonkan dalam dua kategori iaitu Pelakon Wanita Terbaik dan Lagu Asal Terbaik pada tahun sama penganjuran menerusi filem A Star Is Born.

Dalam pada itu, bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik tahun ini, lima calon akhir ialah Javier Bardem, Benedict Cumberbatch, Andrew Garfield, Will Smith dan Denzel Washington.

Dua tahun lalu, Korea Selatan menerusi filem Parasite mencatat sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai filem bukan berbahasa Inggeris pertama merangkul trofi Filem Terbaik Academy Awards selain menang tiga kategori utama lain. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI