fbpx

Pemandu Nissan Navara didakwa 6 pertuduhan bunuh, dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong hari ini dan dituduh atas empat tuduhan membunuh dan dua berkaitan dadah di Bentong.

BENTONG – Pemandu Nissan Navara yang merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian kemalangan maut didakwa di Mahkamah Majistret Bentong di sini hari ini atas enam tuduhan termasuk empat tuduhan membunuh dan dua kesalahan berkaitan dadah.

Tertuduh Ahmad Fuad Mohd. Salleh,44, yang memakai baju lengan pendek menyatakan faham selepas empat pertuduhan membunuh dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim.

Bagi pertuduhan berkaitan dadah pula tertuduh yang kelihatan tenang dan tersenyum mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Tertuduh yang berasal dari Lipis dan bekerja sebagai penternak ikan dituduh atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mengikut empat kertas pertuduhan berkenaan pada kira-kira pukul 2.30 petang pada 28 Januari lalu di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di Bentong tertuduh didapati membunuh empat mangsa iaitu Raihan Mohamad, 43; Ahda Dalili Mohd. Nazri,14; Ahmad Muaz Mohd. Nazri,7 dan Ahda Imtinan Mohd. Nazri,5.

Berita berkaitan: Kemalangan 4 maut: Dadah dalam pacuan empat roda

Bagi pertuduhan kelima pula tertuduh didakwa pada pukul 12.05 tengah malam 29 Januari lalu di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong didapati menggunakan dadah berbahaya jenis methamphatamine dengan cara yang salah.

Bagi kesalahan ini tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) ADB yang dibaca bersama Seksyen 38 B ADB.

KEADAAN kenderaan jenis Toyota Velfire yang remuk teruk selepas dirempuh pacuan empat roda dalam kejadian kemalangan maut di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di Bentong kelmarin.

Dalam pertuduhan keenam pula tertuduh didakwa pada 11.45 pagi 28 Januari lalu di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di Bentong memiliki 0.75 gram methamphetamine dan didakwa di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) ADB 1952.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Farah Idayu Nusi.

Berita berkaitan: Ibu, tiga anak maut dirempuh pacuan empat roda

Shahrul Eksan dalam prosiding menyatakan tertuduh tidak diberikan jaminan termasuklah dalam kes berkaitan dadah memandangkan tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Mac depan sebutan semula kes bagi mendapatkan keputusan maklumat bedah siasat keempat-empat mangsa dan juga laporan kimia tertuduh.

Dalam kejadian kemalangan pada 28 Januari lalu, mangsa Raihan Mohamad,43, dan tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd, Nazri,14, Ahmad Muaz,7, dan Ahda Imtinan,4, maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda di simpang lampu isyarat susur Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) dekat Kilometer 2 Jalan Lebu Mempaga di sini.

Semasa kejadian mangsa yang menaiki kenderaan jenis Toyota Velfire dipandu suaminya dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudaranya.

Kejadian berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Velfire dinaiki mangsa dirempuh sebuah pacuan empat roda yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI