fbpx

Kemalangan 4 maut: Dadah dalam pacuan empat roda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN kenderaan jenis Toyota Velfire yang remuk teruk selepas dirempuh pacuan empat roda dalam kejadian kemalangan maut di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di Bentong semalam.

BENTONG – Polis menemui dadah dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dipandu seorang lelaki yang terlibat dalam kejadian kemalangan maut selepas melanggar lampu isyarat merah di simpang lampu isyarat susur Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di sini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, susulan itu polis akan menahan reman lelaki berusia 44 tahun berkenaan yang kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmah Shah (Hoshas) Temerloh untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu Nissan Navara mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan hasil pemeriksaan polis dalam kenderaan dinaiki suspek menemukan satu ttiub straw lutsinar berisi hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu.

“Berdasarkan siasatan juga suspek mempunyai tujuh rekod lampau dan suspek akan direman untuk siasatan lanjut,”katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian kemalangan semalam, mangsa Raihan Mohamad,43, dan tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd, Nazri,14, Ahmad Muaz,7, dan Ahda Imtinan,4, maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda di simpang lampu isyarat susur Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) dekat Kilometer 2 Jalan Lebu Mempaga di sini.

Semasa kejadian mangsa yang menaiki kenderaan Toyota Velfire dipandu suaminya dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Cheras, Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudaranya.

Kejadian berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Velfire dinaiki mangsa dirempuh sebuah pacuan empat roda yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

Menurut Zaiham, suspek disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya suspek turut disiasar mengikut Seksyen 15 (1) (a) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun.

“Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang 10 tahun dan didenda tidak kurang dari RM50,000.

“Pihak polis meminta saksi-saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan,”ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI