fbpx

[KEMASKINI] Ibu, tiga anak maut dirempuh pacuan empat roda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu dan tiga anak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda (4WD).

BENTONG – Empat sekeluarga yang terdiri daripada ibu dan tiga anak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda (4WD) yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di simpang lampu isyarat susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) berhampiran Kampung Lebu di sini hari ini.

Difahamkan mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu adalah seorang wanita dewasa, dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.

Ketua Polis Daerah Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kesemua mangsa yang menaiki MPV jenis Toyota Vellfire tersebut dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis kenduri kahwin.

“Berdasarkan keterangan saksi, Nissan Navara melanggar lampu isyarat merah sebelum melanggar MPV berkenaan.

“Siasatan awal pihak polis mengesyaki pemandu pacuan empat roda itu juga berada di bawah pengaruh dadah dan siasatan masih dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pemandu MPV dan pacuan empat roda berkenaan hanya cedera ringan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, bomba yang bergegas ke tempat kejadian mendapati terdapat enam mangsa terlibat dalam kejadian itu.

“Empat mangsa yang maut terdiri daripada satu perempuan dewasa, dua kanak-kanak perempuan dan satu kanak-kanak lelaki manakala dua lelaki dewasa mengalami kecederaan.

“Pasukan bomba memastikan tiada lagi mangsa dalam kenderaan selepas kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam,” ujarnya.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah penumpang MPV Raihan Mohamad,43, dan tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd. Nazri,14; Ahmad Muaz Mohd. Nazri,7, dan Ahda Imtinan Mohd.Nazri,4, manakala pemandu MPV yang juga suami mangsa mengalami kecederaan.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, pemandu MPV mengalami kecederaan di bahagian tangan manakala pemandu pacuan empat roda mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala pemandu pacuan empat roda jenis Nissan Navara dibawa ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Kamarulzaman berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan.

Jelasnya, berdasarkan ujian awal saringan air kencing terhadap pemandu pacuan empat roda mendapati positif dadah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI