fbpx

Sindiket sorok dadah RM5.08 juta dalam lori tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yahaya

KUALA LUMPUR – Tindakan sindiket dadah didalangi warga asing yang menjadikan sebuah lori tiga tan yang diparkir di kawasan perumahan sebagai tempat menyimpan dadah akhirnya terbongkar selepas penahanan enam ahli kumpulan terbabit.

Difahamkan, lori terbabit akan berpindah dari satu kawasan perumahan ke kawasan lain di sekitar Lembah Klang bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ahli sindiket ini juga cuba bertindak licik dengan menjadikan hotel di sekitar Lembah Klang sebagai tempat penginapan dan sering berpindah.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, kesemua enam tangkapan terdiri daripada empat lelaki tempatan, seorang lelaki warga Singapura dan seorang wanita warga Vietnam berusia dalam lingkungan 20 hingga 42 tahun.

“Menerusi Ops Mitch ini, kita telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi warga asing dan tempatan di sekitar Lembah Klang pada 27 Januari lalu

“Serbuan tersebut juga berjaya menemui dadah yang disimpan di dalam sebuah lori tiga tan di kawasan perumahan sekitar Selangor,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kesemua dadah tersebut terdiri daripada syabu, heroin dan pil erimin 5 yang disorokkan di dalam bungkusan teh.

“Keseluruhan rampasan dadah tersebut bernilai RM5.08 juta dan dipercayai boleh digunakan seramai 282,108 pengguna. Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM5,168 dalam serbuan terbabit.

“Siasatan awal mendapati, sindiket ini akan membekalkan dadah untuk pembekal di sekitar Lembah Klang dan baru sebulan aktif dalam pengedaran dadah.

“Empat warga tempatan ini mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan positif dadah manakala dua lagi warga asing tidak positif serta tiada rekod jenayah,” jelasnya.

Tambahnya, polis juga sedang mengesan saki baki ahli sindiket terbabit selain menyiasat bagaimana dadah tersebut diperolehi. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI