fbpx

JPA tetapkan syarat pengeluaran GCR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menetapkan beberapa syarat bagi pemberian awal wang tunai gantian cuti rehat (GCR) kepada penjawat awam yang ingin memohon pengeluaran itu.

JPA menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, antara syarat ditetapkan adalah tempoh perkhidmatan pegawai yang boleh dimasuk kira hendaklah tidak kurang daripada 15 tahun dan pemohon perlu mencapai syarat umur 45 tahun.

Menurutnya, syarat lain dikenakan termasuk jumlah GCR yang terkumpul sebelum permohonan pemberian awal wang tunai GCR hendaklah sekurang-kurangnya 80 hari.

“Pemohon juga mestilah bebas daripada sebarang prosiding jenayah atau tindakan tatatertib dan mendapat perakuan daripada Ketua Jabatan,” katanya.

Jelas kenyataan itu, jumlah maksimum pengumpulan GCR yang boleh dibayar sepanjang tempoh perkhidmatan adalah sebanyak 160 hari.

Menurut JPA lagi, pemberian awal wang tunai GCR sebanyak 80 hari hanya boleh dibuat sekali sahaja sepanjang perkhidmatan manakala baki 80 hari GCR terkumpul akan dibayar pada tahun persaraan wajib pegawai.

Katanya, Ketua Jabatan hendaklah menggunakan aplikasi Sistem Pengiraan GCR yang boleh dimuat turun di portal www.jpapencen.gov.my untuk tujuan pengiraan GCR yang tepat bagi pemberian awal award wang tunai GCR.

Surat Edaran boleh dimuat turun melalui portal JPA di https://tinyurl.com/59en9n7v dan maklumat perhubungan berkaitan GCR boleh diajukan ke talian 03-8885 4686/ 4428/ 4431/ 4670/ 4427/ 4729 atau emel ke [email protected]. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI