fbpx

LVMH untung besar semasa pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai berjalan di hadapan sebuah butik Louis Vuitton di Miami, Florida, pada 30 November 2021. – AFP

PARIS – Kumpulan barangan mewah utama dunia, LVMH lebih sekadar pulih daripada pandemik Covid-19 apabila mencatat jualan dan keuntungan terbesar untuk tahun 2021.

Kumpulan  yang meliputi jenama fesyen Louis Vuitton, Dior dan Celine di samping champagne Moet & Chandon itu menjana perolehan sebanyak 64.2  bilion (RM300.29 bilion)  tahun lalu.

Angka tersebut merupakan peningkatan 44 peratus berbanding 2020 apabila sektor barangan mewah terjejas teruk akibat penutupan kedai-kedai fesyen. Ia juga peningkatan 20 peratus berbanding perolehan sebelum pandemik dalam tahun 2019.

Untung bersih LVMH pula mencecah €12 bilion (RM56.13 bilion)  iaitu pertambahan 156 peratus daripada tahun 2020 dan 68 peratus berbanding 2019.

“Di sebalik ketidaktentuan yang berterusan pada permulaan tahun baharu disebabkan pandemik, kami mengharungi 2022 dengan keyakinan dan yakin bahawa LVMH berada dalam kedudukan terbaik untuk mengukuhkan lagi penguasaannya dalam pasaran barangan mewah,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bernard Arnault  dalam satu kenyataan.

Perolehan syarikat itu melepasi unjuran penganalisis-penganalisis yang diterbitkan oleh agensi berita Bloomberg iaitu €62.2 bilion (RM290.94 bilion) dalam pendapatan  dan keuntungan bersih berjumlah €10.7 billion (RM50.05 bilion).

LVMH merancang memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan dividen sebanyak  €10 (RM46.77) , meningkat berbanding  €6 (RM28.06) pada tahun lalu. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI