MOTIF batik sememangnya merupakan antara salah satu motif yang paling diminati dek kerana sifatnya yang versatil.
Batik sama ada tradisional mahupun moden boleh digayakan ke apa jua acara, menyerlah elemen tradisi dan budaya Nusantara.
Memperkenalkan lagi batik ke persada dunia, jenama tempatan yang terkenal dengan rekaan feminin dan moden sofistikated, INNAI baru-baru ini menjadi jenama
Malaysia pertama yang bekerjasama dengan jenama barangan mewah dari New York, Amerika Syarikat iaitu COACH.
Lebih membanggakan, INNAI juga merupakan jenama pertama di Asia Tenggara yang diberi peluang untuk berkolaborasi dengan COACH dalam mempamerkan keunikan motif batik.
Menerusi kolaborasi itu, COACH X INNAI memperkenalkan dua produk fesyen iaitu tas tangan dan juga kemeja-T.
Seleksi tas tangan kanvas yang menjadi gaya signatur COACH digabungkan dengan rekaan batik moden dalam rona pastel yang menyerlah identiti jenama INNAI.
Pengasas dan juga Pengarah Kreatif INNAI, Izrin Ismail berkongsi, dia bagaikan tidak percaya apabila dapat bekerjasama dengan COACH untuk menghasilkan produk berupa tas tangan dan juga kemeja-T.
“Melihat jenama saya dicetak pada tas tangan COACH X INNAI, saya seakan-akan tidak percaya.
“Koleksi ini merupakan satu koleksi unik yang dihasilkan sebagai meraikan warisan budaya kita,” katanya.

Koleksi berinspirasikan batik itu merupakan penerokaan seni tekstil batik tradisional Malaysia melalui lensa moden.
Ia menampilkan motif bunga raya ikonik yang dikenali sebagai ‘Paradise Swirl’ dalam warna pastel lembut hasil sentuhan khas daripada INNAI.
Gabungan material kanvas dan kulit pada tas tangan COACH X INNAI dengan reka corak batik moden menjadi misi jenama fesyen itu untuk menterjemah warisan.
Rekaan bunga raya batik di atas tas tangan kanvas berwarna putih pula menyerlah motif batik moden tersebut, memberi aura feminin pada rekaan.
Tambah Izrin, simbol nostalgia dan semangat bebas yang berkekalan itu diilhamkan daripada kawasan pesisir pantai Malaysia Timur (Borneo).
Bagi teknik penghasilan motif batik pula, ia dibuat dengan menggunakan teknik lilin dan pewarna buatan tangan.
Motif batik abstrak yang dihasilkan cukup sesuai dalam menterjemah asal usul INNAI.
Bagi koleksi kemeja-T COACH X INNAI pula, ia didatangkan dalam dua rona berbeza iaitu hitam dan putih.
Gabungan warna biru dan merah jambu lembut menjadikan kemeja-T dan juga tas tangan koleksi itu sesuai digayakan bersama semua jenis pakaian sebagai pakaian harian.














