fbpx

KPDN P. Pinang rampas beg LV, Chanel tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguatkuasa KPDN Pulau Pinang ketika menjalankan serbuan di salah sebuah premis perniagaan di Bukit Mertajam, semalam.

SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas pelbagai barangan tiruan berjenama terkenal bernilai lebih RM60,000 dalam serbuan di dua buah premis perniagaan di Bukit Mertajam di sini, semalam.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, serbuan itu dibuat bersama dua wakil pengadu iaitu syarikat Global Trade Sheild Sdn. Bhd. dan Randall Gateskill Risk Consultancy Sdn. Bhd. selaku pemilik cap dagangan berdaftar untuk barangan berkenaan selepas satu risikan awal dilakukan.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap premis-premis itu kemudian menemukan pelbagai barangan berjenama terkenal seperti Puma, Adidas, Nike, Louis Vuitton, Dior dan Chanel yang disyaki tiruan.

“Pihak KPDN kemudian bertindak merampas sejumlah 4,830 helai seluar, 190 baju, 510 coli sukan; 1,544 topi, 625 beg serta 369 unit minyak wangi yang kesemuanya terdiri daripada pelbagai jenama.

“Kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 62,087,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Jegan, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Sabit kesalahan bagi pertubuhan atau perbadanan katanya, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu untuk kesalahan pertama.

Jelas beliau, bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya pula, didenda tidak melebihi RM30,000 boleh dikenakan jika terbukti bersalah.

“Sementara itu, jika pelaku bukan terdiri daripada pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan bagi kesalahan pertama.

“Kesalahan kedua dan berikutnya pula memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI