SEBELUM ini gadis itu tidak pernah terfikir bahawa dia akan menjadi antara individu yang gemar untuk memiliki tas tangan atau beg berjenama.
Malah, dia juga pernah berfikir beli barangan berjenama adalah satu pembaziran kerana baginya semua beg atau tas tangan mempunyai fungsi sama meskipun jenamanya tidak dikenali.
Namun kemudian, Rabiatul Adawiyah Misham Zail, 24, menyedari bahawa membeli barangan seumpama itu bukanlah seperti apa yang difikirkan, sebaliknya lebih daripada itu apabila dia menerokai pasaran beg berjenama terpakai preloved.
“Dulu saya fikir beli beg jenama itu membazir kerana mahal dan orang hanya pakai untuk bergaya tetapi bila dah masuk dunia beg tangan mewah banyak sebenarnya manfaat selain daripada memakainya sahaja.
“Membeli beg jenama ini sebenarnya boleh menjadi simpanan dan pelaburan masa depan mengikut jenama dan model kerana ada antaranya boleh dijual semula pada harga lebih tinggi di pasaran barangan terpakai preloved,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Icon Luxe, Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Icon Luxe merupakan salah satu premis menjual beg-beg berjenama tulen terpakai preloved di ibu kota.
Tambahnya, membeli beg-beg jenama tulen terpakai preloved sudah menjadi trend dalam kalangan masyarakat yang ingin memiliki barangan itu pada harga lebih rendah berbanding di butik asal.
Hal itu membuka perspektif baharu dalam segmen barangan berjenama terutama beg dan tas tangan yang selama pada pandangan umum hanya boleh dimiliki oleh golongan T20.
Kongsinya yang memiliki beg berjenama Chanel, Louis Vuitton dan Gucci preloved, sebelum ini ramai tidak menyedari bahawa beg-beg berjenama tulen boleh didapati dalam pasaran preloved dan bukanlah seperti beg-beg bundle, sebaliknya masih dalam kondisi yang elok serta seperti baharu atau dibeli dari butik asal.
“Jika dahulu ramai yang hanya mampu melihat dan mengagumi beg berjenama dari luar butik, malah ada antara mereka beranggapan ia hanya sekadar mimpi, tetapi apabila adanya pasaran preloved mendapatkan beg berjenama tulen pertama bukan lagi satu angan-angan.
“Saya juga mula memiliki beg berjenama dengan membeli preloved, malah sehingga kini semua koleksi juga dimiliki dengan cara sama kerana kualiti serta kondisinya sama seperti baharu,” ujarnya yang kini memiliki lebih 10 koleksi beg berjenama.
Selain Icon Luxe terdapat banyak syarikat yang menjual beg tangan berjenama preloved di Malaysia antaranya Luxshop Handbag Original dan Groovy Luxury.
Kesemua kedai mengetengahkan konsep sama iaitu menjual barangan berjenama terpakai serta menawarkan khidmat menjualnya semula dalam bentuk consignment.
Berbeza dengan kedai bundle, butik preloved barangan jenama memberikan konsep pembelian premium kerana setiap produk dijaga dengan rapi dan disusun dalam rak tersendiri.
Bagi menjaga kualiti dan kondisi beg, ia turut dijaga dan dipegang dengan mengenakan sarung tangan.
Produk preloved itu sendiri merujuk kepada barangan terpakai yang sebelum ini disayangi dan dijaga penuh rapi oleh pengguna terdahulu.
Seorang lagi peminat beg berjenama preloved, Iriz Qistina, 25, memberitahu memiliki beg berjenama preloved bukanlah sesuatu yang memalukan.
Baginya, selagi barangan itu tulen tiada siapa yang akan tahu itu adalah preloved melainkan diri sendiri yang memberitahu kepada orang lain.

Dia yang juga seorang suri rumah memberitahu, minatnya terhadap beg dan tas tangan berjenama bermula selepas diperkenalkan oleh suami yang juga merupakan peminat barangan berjenama.
“Dulu saya tidak pernah kisah untuk memiliki beg berjenama, meskipun ada dalam kalangan ahli keluarga sudah memilikinya.
“Namun, selepas dihadiahkan oleh suami, saya mula minat beg-beg jenama ini kerana bukan sekadar aksesori tetapi secara tidak langsung beri impresi berbeza dalam gaya,” kongsinya.
Katanya yang juga memiliki kira-kira 10 koleksi beg tangan berjenama, konsep membeli preloved ini membuka satu ruang buat lebih ramai orang berpeluang memiliki barangan itu yang boleh juga dijadikan sebagai pelaburan masa depan.
Jelasnya lagi, tidak ramai yang sedar bahawa beg berjenama ada nilai meskipun dan kondisi terpakai dan dia juga pernah menjual semula barangan berjenama miliknya untuk memiliki beg yang baharu.
“Ada beg yang nilainya akan menurun selepas dibeli langsung dari butik jenama tetapi ada juga yang harganya semakin meningkat terutama untuk barangan edisi terhad atau model yang masih relevan serta popular.
“Walaupun dalam kondisi preloved, barangan itu masih ada harga, malah boleh membawa untung hingga mencecah ribuan ringgit untuk satu beg,” ujarnya.
Menjelaskan tentang pasaran beg berjenama terpakai, Pengasas Icon Luxe Malaysia, Muhammad Mirzan Johor, memberitahu ia sebenarnya sudah bertapak sejak 20 tahun lalu tetapi bermula dalam komuniti yang kecil.
Katanya, trend ini semakin berkembang kerana terdapat banyak pihak yang mula memperkenalkan perniagaan ini di media sosial, bukan sahaja di Malaysia tetapi luar negara.
Di Icon Luxe juga, pihaknya bukan sekadar menjalankan perniagaan tetapi turut berkongsi maklumat dan kesedaran konsep membeli preloved serta bagaimana boleh menjadi satu manfaat berbanding pembaziran.
“Setiap jenama ada nilai tersendiri, seperti Hermes dan Chanel, nilai beg mereka tidak jatuh meskipun dalam pasaran preloved dan ada model yang harganya lebih tinggi kerana beberapa faktor.
“Namun, bagi jenama yang ada susut nilai, ia masih boleh dilihat sebagai satu simpanan kerana beg itu masih boleh mendatangkan hasil jika pemiliknya mempunyai keperluan kewangan,” katanya.
Kongsinya, dalam pasaran preloved beg berjenama, aspek kualiti juga diberi perhatian kerana kondisi sesebuah beg menentukan harganya dalam pasaran.
Setiap beg yang mahu dijual semula akan disahkan ketulenannya terlebih dahulu sebelum dibeli atau diambil secara konsainan.
“Dalam industri beg berjenama ia tidak lari daripada wujudnya barang tiruan dan proses pengesahan ini amat penting supaya setiap barangan yang masuk ke butik adalah asli.
“Kita menggunakan teknologi Entrupy, satu sistem pengesahan berasaskan AI dari Amerika Syarikat (AS) untuk menentukan keaslian setiap beg dan juga setiap barangan ditentukan mengikut harga pasaran semasa,” kongsinya.














