fbpx
GAMBAR HIASAN/ZULFADHLI ZAKI

Hukuman tak cukup, tumpu pemulihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NOR AZIHAN MD GHAZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

HATI penulis bagaikan direntap apabila membaca kisah seorang wanita maut selepas kepalanya dipenggal dengan parang oleh anak lelakinya yang merupakan darah daging sendiri.

Tergamak seorang anak memperlakukan ibu kandungnya sedemikian rupa. Apakah salah ibu sampai sanggup si anak bertindak di luar kewarasan?

Tragedi berdarah itu berlaku pada 16 Januari lalu di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor.

Mangsa berusia 56 tahun itu ditemui mati di ruang tamu dan anaknya yang berusia 28 tahun dapat diberkas polis.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, suspek memenggal kepala ibunya kerana tidak memperoleh wang untuk membeli dadah.

Sebelum ini suspek pernah dikenakan hukuman kerana mengugut ibunya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 2014 juga disebabkan kerana mahu membeli dadah.

Angkara dadah, manusia sanggup melakukan apa sahaja hingga membunuh termasuk ahli keluarga sendiri.

Seperti diketahui, kebanyakan penagih terjebak dadah secara suka-suka dan mahu mencuba, tak kurang juga disebabkan terpengaruh dengan rakan-rakan, ahli keluarga, tekanan selain faktor persekitaran.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Penyelidikan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Hafidah [email protected], keadaan persekitaran dan orang sekeli­ling turut mendorong seseorang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Jika dikaji sebab seseorang itu terjebak dengan bahan terlarang itu antaranya dipengaruhi ibu bapa atau ahli keluarga yang turut menagih dadah.

“Paling membimbangkan apabila terdapat ibu bapa atau ahli keluarga yang memberi mereka dadah tersebut. Tak kurang juga yang membawa mereka ke tempat penagihan termasuk ketika urusan jual beli dadah dijalankan,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, faktor genetik juga boleh menyebabkan tingkah laku penagihan diwarisi dan ini dibuktikan menerusi kajian National Institute on Drug Abuse (2013) me­nunjukkan bahawa 40 hingga 60 peratus penagihan dadah adalah disebabkan faktor genetik.

Sementara itu, pakar ­psikia­tri yang juga bekas Presiden Asean Federation of Psychiatry and Mental Health, Prof. Dr. Mohamad Hussain Habil pula memberitahu, program rawatan dan pemulihan dadah perlu dikendalikan oleh pihak yang benar-benar berkelayakan dalam bidang tersebut.

“Rawatan kepada penagih perlu dikendalikan oleh doktor dan pakar yang menjalani latihan untuk rawatan itu dan kalau kita bagi kepada mereka yang tidak berkelayakan untuk merawat, akan timbul masalah pada kemudian hari,” katanya.

Secara tuntasnya, dapat di­simpulkan bahawa isu ketagihan dadah tidak boleh dipandang enteng kerana jika dibiarkan ia boleh menjadi barah.

Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan dalam isu ini. Hukuman sahaja mungkin tidak mendatangkan keinsafan, sebaliknya perlu pendekatan yang proaktif dalam usaha memulihkan mereka agar dapat kembali ke pangkal jalan. -K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN