SELEPAS kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 ekoran penularan pandemik Covid-19, semua aktiviti ekonomi seakan terhenti buat seketika.
Norsuhayati Md. Noor, 43, yang ketika itu berniaga di Uptown Sri Gombak turut menerima kesannya apabila dia tidak lagi dapat menjalankan aktiviti itu disebabkan tapak perniagaan berkenaan ditutup.
“Pada awalnya, saya sangkakan sekatan pergerakan ketika itu hanya akan berlangsung selama sebulan dua dan sepanjang PKP 1.0, saya telah menggunakan wang simpanan untuk perbelanjaan harian.
“Namun, selepas PKP berlarutan dari PKP 1.0 ke PKP 2.0 dan PKP 3.0, kedudukan kewangan saya semakin tenat.
“Ditambah pula apabila suami yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori turut hilang punca pendapatan apabila tidak lagi dapat memandu disebabkan sekatan rentas daerah dan negeri menyebabkan hidup kami sekeluarga mula terumbang-ambing,” katanya yang tinggal di Batu 11, Jalan Gombak, Selangor kepada K2.
Dia yang mempunyai enam anak berusia antara 6 hingga 21 tahun seakan hilang punca apabila kesempitan hidup yang dirasai ketika itu membuatkan dirinya mula berasa tertekan, lebih-lebih lagi apabila terputus bekalan makanan akibat kehabisan wang simpanan.

Lebih memilukan katanya, apabila keluarganya seperti tercicir daripada mendapat sebarang bantuan sedangkan ada antara jiran-jirannya yang sering mendapat bekalan makanan yang dihulurkan pelbagai pihak.
Pun begitu, Norsuhayati seakan-akan mendapat ‘talian hayat’ apabila dipertemukan dengan kakitangan Projek Singgah Sedekah oleh Pusat Akar Budi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ABC-UIAM) yang berpusat di Jalan Gombak sekitar bulan Mac tahun lalu.
“Selepas menghubungi ABC-UIAM, saya bersyukur kerana rupa-rupanya ada badan kebajikan yang masih sudi membantu orang dalam kesusahan seperti saya.
“Kini, selepas mendapat bantuan dan bimbingan, hidup saya sekeluarga semakin baik. Selain mendapat bantuan bekalan makanan, saya sudah mula berniaga air di tepi jalan untuk menjana pendapatan, selain turut mengikuti kelas menjahit yang dianjurkan ABC-UIAM sejak November lalu,” katanya yang bercadang untuk mengambil upah menjahit pakaian bagi menjana pendapatan tambahan.
Dimulakan secara rasmi pada 9 Mac tahun lalu, Projek Singgah Sedekah yang dikendalikan ABC-UIAM merupakan aktiviti kemasyarakatan yang diwujudkan hasil gabungan pelbagai pihak sebagai usaha membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat sekitar Jalan Gombak yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Bermula daripada kira-kira 10 keluarga, kini mereka sudah membantu hampir 300 keluarga yang terdiri daripada asnaf, ibu dan bapa tunggal, golongan B40, orang kelainan upaya, keluarga warga asing dan Orang Asli yang bukan sahaja merentasi sempadan bangsa, tetapi juga agama.
Mengulas lanjut mengenai Projek Singgah Sedekah, pengasasnya, Martinelli Hashim berkata, penularan Covid-19 sejak awal tahun 2020 bukan sahaja telah menyebabkan ramai anggota masyarakat dihimpit masalah kewangan.
Lebih menyedihkan katanya, apabila masalah tersebut turut mengakibatkan berlakunya isu-isu lain seperti keganasan rumah tangga, masalah sosial dalam kalangan remaja selain keciciran dalam pendidikan melibatkan pelajar sekolah.

Jelasnya, melihat kepada pelbagai isu yang dikesan membelenggu masyarakat di situ, maka ABC-UIAM mengambil pendekatan untuk memberi fokus kepada lima perkara utama iaitu membina semula kesejahteraan keluarga, meningkatkan tahap pendidikan kanak-kanak, projek menjana kewangan, kerohanian dan pemulihan alam sekitar.
Jelasnya lagi, Projek Singgah Sedekah merupakan program utama yang dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada usaha membantu anggota masyarakat di kawasan berkenaan yang mengalami kesempitan hidup menerusi empat kaedah iaitu mendekati, memahami, menyantuni dan mengiringi mereka agar keluar daripada isu yang membelenggu kehidupan mereka.
“Pada peringkat awal, disebabkan kami tidak mempunyai banyak data mengenai keluarga yang dilanda masalah, maka kaedah yang digunakan ketika itu ialah masuk ke kawasan kampung untuk mengesan mereka.
“Bermula dari situlah, sedikit demi sedikit isu-isu berkaitan masalah yang dihadapi oleh masyarakat di sini mula dikenal pasti dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk membuka pendaftaran secara online bagi mengesan lebih ramai keluarga yang terjejas agar mereka turut mendapat manfaat daripada Projek Singgah Sedekah ini.
“Kini, Projek Singgah Sedekah yang dikendalikan ABC-UIAM semakin dikenali dan sudah banyak keluarga mula mendaftar untuk mendapatkan bantuan khususnya barangan makanan dan keperluan harian seperti susu, lampin pakai buang dan ubat-ubatan asas,” katanya.
Kata Martinelli lagi, selain bantuan barangan dapur, Projek Singgah Sedekah yang menjadi tunjang aktiviti kebajikan ABC-UIAM itu turut merangkumi aktiviti-akviti lain seperti projek jarum emas, projek jemari hijau, agihan susu, kelas al-Quran, projek rumah kasih, bengkel usahawan dan hebat baca.

Katanya, kesemua aktiviti tersebut dilaksanakan dengan bantuan kesemua pihak atau badan yang bergabung di bawah ABC-UIAM selain turut dijayakan oleh orang perseorangan yang ikhlas ingin membantu masyarakat di situ.
“Sebagai contoh, projek jarum emas adalah kelas menjahit yang kami wujudkan bagi memberi latihan kepada suri rumah yang meminati bidang jahitan.
“Selain sukarelawan ABC-UIAM, kami turut mendapat bantuan daripada seorang usahawan yang juga pengasas jenama Big Mole Bag, Dr. Zaiton Abd. Rahim yang datang ke pusat ini untuk mengajar sendiri teknik menjahit beg kepada para peserta.
“Malah, para pelajar UIAM sendiri turut hadir sebagai sukarelawan bagi membantu membimbing para pelajar sekolah di sini untuk meningkatkan kebolehan dan keupayaan mereka sama ada dari segi akademik mahupun sahsiah diri,” katanya.
Ujar beliau lagi, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 51 aktiviti telah berjaya dilaksanakan dan pihaknya berharap agar lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan pada masa akan datang bagi membantu lebih banyak keluarga yang dihimpit pelbagai masalah di kawasan berkenaan.
Salah satu badan yang terlibat di dalam projek kendalian ABC-UIAM itu ialah Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Basri (PAKB).
Ketua Pegawai Eksekutif PKAB, Khairul Anuar Basri berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk menyertai Projek Singgah Sedekah ABC-UIAM kerana ia bersesuaian dengan objektif pertubuhan itu sendiri iaitu menjalankan aktiviti kebajikan.
“Selepas menerima panggilan telefon daripada pengasas projek ini, saya tidak berfikir panjang dan terus menyatakan persetujuan untuk membantu kerana sudah menjadi kelaziman PKAB untuk menjalankan aktiviti membantu masyarakat yang dalam kesempitan hidup.
“Pada peringkat awal pelaksanaannya, saya membantu dari segi mendapatkan dana menerusi sumbangan pelbagai pihak yang selama ini sudah mempunyai hubungan yang rapat dengan PKAB. Alhamdulillah, dengan sumbangan dana dikumpulkan, kami telah berjaya membantu keluarga yang sangat memerlukan bantuan khususnya bagi keperluan makanan dan keperluan harian,” katanya.














