fbpx
NOH (enam dari kiri) menyerahkan sijil dan anugerah kepada salah seorang usahawan yang menyertai program anjuran Insken di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Insken tingkatkan pendapatan usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Institut Ke­usahawanan Negara Berhad (Ins­ken) berjaya membantu usahawan menyesuaikan diri dan meneruskan perniagaan dengan norma baharu melalui dua programnya, Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Online Onboarding Coaching Programme (E-Board).

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, daripada program tersebut, hasil jualan usahawan telah meningkat sebanyak RM9.8 juta dan menawarkan 256 pe­luang pekerjaan.

“Walaupun mengambil sedikit masa bagi membantu usahawan meningkatkan hasil jualan tetapi pencapaian cemerlang seperti inilah yang dinantikan untuk diraikan bersama usahawan.

“Oleh itu, kami akan terus memberikan bimbingan kepada usahawan melalui dua program ini dan ia masih lagi diteruskan pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar menerangkan, Insken sentiasa konsisten ­menghulurkan bantuan berbentuk latihan serta bimbingan bagi memastikan usahawan dapat kekal bertahan ketika pandemik selain dapat menyaksikan usahawan mula menyesuaikan diri dengan norma baharu.

Menurut beliau, usahawan yang berjaya meningkatkan hasil jualan ini adalah bukti bahawa norma baharu bukanlah menjadi penghalang untuk mereka terus maju ke hadapan.

Seramai 295 peserta telah mengikuti program IBBC dan tempoh bimbingan secara bersemuka telah dilaksanakan untuk tempoh selama empat bulan. Program itu turut melibatkan usahawan daripada industri kendalian kafe dan restoran, bakeri, jualan pasar raya dan ekopelancongan.

Kesemua peserta program yang telah dibimbing oleh pakar industri itu mencatat peningkatan jualan keseluruhan sebanyak RM9.2 juta dan berjaya menawarkan 256 peluang pekerjaan baharu.

Selain itu, sebanyak 170 peserta daripada dua program E-Board telah dibimbing membuat pemasaran digital selama empat bulan dan berjaya mencatat pe­ningkatan hasil jualan lebih daripada RM560,000.

Usahawan yang menyertai program ini mampu membuat transformasi perniagaan ke arah digital dengan menggunakan platform Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp, Shopee, Lazada,Telegram dan YouTube.

POPULAR