fbpx
Keadaan kenderaan SUV milik Arnold (hitam) dan mangsa-mangsa lain dalam kemalangan tersebut. – BackGrid

Arnold Schwarzenegger terlibat kemalangan ngeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES, CALIFORNIA – Bintang Hollywood popular, Arnold Schwarzenegger mengalami kemalangan jalan raya yang melibatkan empat buah kenderaan di Los Angeles, petang semalam, lapor portal berita MailOnline semalam.

Ketika kejadian, Schwarzenegger, 74, memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis GMC Yukon sebelum bertembung dengan sebuah kereta Toyota Prius dan menghempap kereta tersebut, lalu berguling dan merempuh sebuah lagi kereta jenis Porsche Taycan.

Situasi kemalangan kelihatan agak teruk dengan kenderaan SUV milik Schwarzenegger dirakam melenyek kereta Toyota Prius namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bintang terminator itu (berjaket coklat) tidak mengalami sebarang kecederaan. – Backgrid

Kemalangan pada pukul 4.35 petang itu berlaku di antara persimpangan Sunset Boulevard dan Allenford Avenue, kira-kira 1.6 kilometer dari kediamannya di Brentwood.

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mencari punca kemalangan.

Sumber polis berkata, pihaknya percaya kemalangan itu berpunca daripada pelakon Terminator itu yang dikatakan cuba membelok ke arah kiri di persimpangan tersebut ketika lampu isyarat berwarna merah.

Pegawai polis dari Jabatan Polis Los Angeles, Drake Madison berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat selain kemalangan itu tidak melibatkan unsur pengaruh dadah atau alkohol.

“Tiada sebarang unsur dadah atau alkohol disyaki terlibat dalam kemalangan ini. Semua mangsa yang terlibat berada di tempat kejadian dan tiada sebarang maklumat lanjut boleh diberitahu,” kata polis.

Pemandu kereta jenis Toyota Prius dilaporkan cedera pada bahagian kepalanya manakala Schwarzenegger tidak mengalami sebarang kecederaan. – AGENSI

POPULAR