fbpx
Gambar hiasan.

Perkeso buka permohonan bagi 6 program

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuka permohonan bagi enam program di bawah Bajet 2022 sejak 1 Januari lalu.

Perkeso dalam satu kenyataan berkata, kesemua program tersebut adalah SIP Subsidi Upah Bersasar (PSU 5.0); SIP Elaun Mencari Pekerjaan+ (SIP EMP+); SPS Padanan Caruman; SPS Khidmat, Program JaminKerja–Insentif Penggajian; dan SIP Gig.

Menurutnya, bagi PSU 5.0, majikan daripada sektor pelancongan yang terkesan dan mengalami penurunan pendapatan akibat penularan Covid-19 boleh membuat permohonan bermula 1 Januari hingga 31 Mac depan di mana insentif kewangan diberikan sebanyak RM600 sebulan kepada setiap pekerja selama tiga (3) bulan, terhad kepada 500 orang pekerja bagi setiap perusahaan.

“SIP EMP+ pula membolehkan mana-mana individu sama ada pencarum atau bukan pencarum yang kehilangan pekerjaan atau sedang mencari pekerjaan untuk memohon bantuan kewangan.

“Permohonan bagi pencarum telah dibuka selama enam bulan bermula 1 Januari sehingga 30 Jun depan, manakala, permohonan bagi individu bukan pencarum dibuka selama 12 bulan bermula 1 Januari hingga 31 Disember nanti,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, untuk program SPS Padanan Caruman, lapan kategori orang bekerja sendiri (OBS) terdiri daripada orang asli atau orang asal, pekerja gig, penjaja, orang kelainan upaya (OKU), pengusaha sektor pelancongan, artis, petani dan usahawan wanita, boleh memohon insentif tersebut untuk dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso selama setahun.

Jelasnya, bantuan dalam bentuk pembiayaan padanan caruman di bawah Pelan Caruman Kedua SKSPS ini akan dibiayai oleh kerajaan sebanyak 80 peratus (RM186.20), manakala baki 20 peratus (RM46.60) perlu dibayar oleh OBS sendiri, permohonan boleh dibuat bermula 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini.

“Program SPS Khidmat adalah insentif dengan bantuan pembiayaan penuh oleh kerajaan untuk caruman bawah Pelan Caruman Kedua dan Keempat SKSPS ini menyediakan tempoh perlindungan setahun kepada empat golongan OBS yang berdaftar terdiri daripada anggota pasukan sukarelawan, pekhidmat rumah ibadat Islam (JAKIM), penyelia dan petugas pemulihan komuniti dan anggota sektor awam berstatus ‘Contract For Service’. Permohonan dibuka sejak 1 Januari hingga 31 Disember ini,” ujarnya.

Sementara itu, program JaminKerja–Insentif Penggajian, para majikan yang membuat pengambilan pekerja baharu dalam kalangan perantis, graduan dan golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas tentera dan bekas banduan boleh memohon insentif penggajian dengan nilai maksima sebanyak RM36,000 untuk setiap pekerja dalam tepoh 12 bulan. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian mulai 17 Januari hingga 30 Jun depan.

“Akhir sekali, SIP Gig, individu yang tergolong dalam kumpulan yang diberikan notis cuti tanpa gaji, diberhentikan kerja, menganggur lebih 60 hari, pencari kerja daripada golongan terjejas atau suri rumah yang tidak bekerja lebih dari enam bulan, boleh memohon insentif tersebut.

“Program ini menawarkan bantuan kewangan sebanyak RM600 hingga RM800 sebulan selama maksimum enam bulan kepada individu golongan terbabit. Permohonan insentif telah dibuka mulai 17 Januari hingga 30 Jun depan,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR