fbpx

Kebakaran tapak pelupusan sampah, 10 sekolah ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal memaksa 10 buah sekolah ditutup bermula esok.

SEBERANG PERAI – Sebanyak 10 buah sekolah berdekatan tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal di sini yang terlibat kebakaran terpaksa ditutup sementara bagi menjamin keselamatan pelajar.

Ia melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, SJKT Nibong Tebal, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, SK Keledang Jaya, SJKT Ladang Changkat, SMK Methodist, SK Methodist dan SK Nibong Tebal.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu notis pemakluman yang dikeluarkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Selatan (SPS) hari ini.

Menurut notis berkenaan, Mesyuarat Bencana Daerah telah memutuskan indeks udara di kawasan sekolah-sekolah dalam lingkungan radius 10 kilometer (km) berada pada Tahap AEGL 3 iaitu kepekatan udara yang memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk.

“Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, telah memberi kebenaran kepada sekolah-sekolah berkenaan untuk menutup sesi persekolahan bermula 19 (esok) hingga 21 Januari ini.

“Pihak PPDS akan memaklumkan selewat-lewatnya pada Sabtu (22 Januari) tentang status pengoperasian semula sekolah berdasarkan keputusan dan nasihat dari Jawatankuasa Bencana Daerah SPS.

Menurut notis itu, pada tempoh tersebut murid-murid akan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), manakala pihak sekolah diminta memaklumkan kepada guru-guru dan ibu bapa mengenai pelaksanaannya.

Terdahulu, akhbar melaporkan tapak pelupusan sampah di Pulau Burung yang keseluruhannya seluas 16.2 hektar mengalami kebakaran seluas kira-kira 6.5 hektar pada Rabu lau.

Keselamatan kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga di kawasan sekitar iaitu Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dilaporkan terjejas dan diminta berpindah pusat pemindahan sementra (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah.

Asap tebal dikatakan masih keluar dari kawasan berkenaan dan tersebar ke kawasan sekitar.

Kebakaran dijangka dapat dipadamkan dalam tempoh seminggu lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI