fbpx

Empat beranak, tekong, ejen PATI dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Enam termasuk tekong dicekup PGA malam tadi.

SABAK BERNAM – Hasrat empat beranak untuk pulang ke negara asal secara haram gagal apabila dipintas pihak berkuasa di Taman Berkat, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk kanak-kanak di dalam sebuah kereta jenis Toyota Corolla.

Turut ditahan dua lelaki iaitu tekong darat dan ejen dengan kesemuanya berusia 13 hingga 64 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, penangkapan mereka hasil rondaan dilakukan pihaknya di kawasan Bagan Sungai Besar yang mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka dipercayai ingin pulang ke negara asal melalui laluan yang tidak diwartakan dengan menggunakan jalan laut.

“PATI itu telah dibawa oleh seorang tekong darat warga tempatan berusia 64 tahun yang telah aktif sejak tujuh tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan mendapati sindiket mengenakan bayaran RM1,600 untuk seorang lelaki dan wanita pula sebanyak RM1,800.

Tambah Rizal, tekong darat pula akan mendapat upah antara RM400 hingga RM500 bagi satu kepala.

“Manakala ejen yang ditangkap bertindak sebagai penghubung kepada tekong laut berhampiran lokasi kejadian dengan dia mendapat upah RM50 bagi satu kepala,” jelasnya.

Rizal berkata, pihaknya turut merampas kenderaan digunakan tekong darat dan sejumlah wang tunai RM8,380 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan
RM23,380.

“Kesemua yang ditangkap dan barangan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI