fbpx

Guna gaji pekerja main judi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aidi Sham.

PORT DICKSON – Seorang pengurus syarikat pembinaan sanggup membuat laporan polis kononnya wang tunai RM39,800 untuk membayar gaji pekerja telah hilang dalam kenderaanya semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, bagaimanapun tembelang suspek lelaki berusia 32 tahun itu terbongkar selepas polis mendapati rupa-rupanya wang tersebut habis digunakan untuk bermain judi.

“Hasil soal siasat pada pukul 11.15 malam semalam mendapati suspek sengaja mengada-adakan cerita tentang kehilangan wang berjumlah RM39,800 dengan tujuan dapat melewatkan pembayaran gaji pekerja.

“Wang tersebut telah habis digunakan oleh pengadu untuk bermain judi di sebuah tempat perjudian berlesen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, sebelum itu polis menerima laporan polis yang dibuat suspek pada pukul 9.33 malam mendakwa telah mengeluarkan wang RM45,000 dari sebuah bank di Cyberjaya pada pukul 2.30 petang hari yang sama bagi tujuan bayaran gaji pekerja.

“Wang tersebut telah disimpan di dalam beg sandang lalu diletakkan di bawah kerusi tempat duduk pemandu.

“Seterusnya, dia pulang ke Port Dickson sebelum ke rumah bapa saudaranya di Lukut dengan menyerahkan wang sebanyak RM4,700 dan singgah di sebuah kedai makan di Taman Sentosa lalu meletakkan kenderaan dan baki wang di dalam kenderaan,” katanya.

Jelas Aidi Sham, suspek mendakwa duit dan beg sandang berkenaan hilang sebaik dia kembali semula ke kenderaan namun tiada kesan pecah cermin pada kenderaannya.

“Justeru, pihak polis telah membuat satu laporan untuk lelaki itu disiasat kerana membuat keterangan dan laporan polis palsu.

“Pihak polis memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab ini dan orang awam diingatkan supaya tidak membuat laporan polis palsu bagi mengelakkan diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Aidi Sham berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu membuat laporan palsu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI