fbpx

Dugaan untuk rakyat tak pernah berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Musibah banjir yang melanda baru-baru ini turut menambahkan lagi dugaan yang tidak pernah berakhir.
FITRI HAZIM, Wartawan Eksekutif Kosmo!

Rakyat Malaysia diuji dengan pelbagai cabaran yang membawa kesan kepada ekonomi disebabkan ketidakstabilan politik dan pandemik Covid-19 sepanjang tahun 2020 dan 2021.

Musibah banjir yang melanda baru-baru ini turut menambahkan lagi dugaan yang tidak pernah berakhir. Kenaikan harga barang meliputi bahan mentah adalah antara kesan yang dihadapi semua pihak.

Aliran tunai semakin merun­cing disebabkan ramai rakyat hilang pekerjaan, pemotongan gaji dan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar.

Kekecohan mengenai pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari rakyat untuk mengharungi kelembapan ekonomi bagaikan tidak dilayan pihak kerajaan.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed berpendapat, kerajaan perlu kerap turun padang dan bertanya kepada mangsa banjir jika terdapat keperluan atau bantuan tambahan yang diperlukan.

Bagaimana ujar Dr. Anuar, mangsa banjir yang terjejas perlu memanfaatkan sepenuhnya bantuan kerajaan terutama untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kerajaan boleh melaksanakan inisiatif bantuan tunai kepada mangsa banjir dan dikreditkan secara e-tunai atau e-dompet khusus untuk membeli barang keperluan harian secara bulanan selama 3 bulan.

“Selain itu, kerajaan juga boleh memperkenalkan Insuran Bencana Alam kepada semua B40. Insuran ini dicarum oleh kerajaan yang akan memberikan perlindungan kepada B40 sekiranya berlakunya bencana alam pada masa akan datang,” katanya.

Apa yang penting katanya, kawalan harga terhadap barang-barang keperluan amat penting terutama bagi menjamin tiada pihak terbeban.

“Pemantauan harga perlu dilaksanakan oleh kerajaan secara lebih meluas dan ianya perlu dilaksanakan 24 jam pasca banjir.

“Selain itu, ia juga mengelak daripada terjadinya manipulasi harga atau ada pihak-pihak tertentu yang ingin memperoleh keuntungan luar biasa,” jelasnya.

Pakar Ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Baidai pula berpendapat, musibah banjir dan kenaikan kos sara hidup merupakan satu ujian awal kepada kantung ekonomi rakyat pada masa kini yang akan membawa rahmat dengan lonjakan ekonomi akan datang.

“Keadaan ekonomi sekarang perlu dilihat dari sudut positif. Allah kini sedang menguji kita.

“Sebagai contoh, dalam sejarah konvesional, ekonomi negara pernah meleset 1997, namun melonjak semul,” jelasnya.

Dr. Barjoyai juga turut berpendapat, isu kenaikan kos harga bahan mentah yang meruncing pada masa kini perlu ditangani dengan pelaksanaan program seperti “Food Security” de­ngan menggalakkan pengeluaran pasaran barangan tempatan tanpa bergantung kepada barangan import.

“Kita mengamalkan sistem ekonomi pasaran (free enterprise), kerajaan tidak boleh mengawal harga bahan mentah. Sekiranya kerajaan kawal, boleh rosakkan mekanisme pasaran.

“Kebanyakan barang yang naik adalah keperluan asas. Program seperti “Food Security” yang pernah dilaksanakan dahulu mungkin boleh merangsang pengeluaran produk tempatan.

“Contoh harga ayam yang mahal iaitu RM9.10 sekilogram, kita boleh menggalakkan pengeluaran ayam kampung yang lebih berkhasiat dan mendatangkan pendapatan kepada petani tempatan tanpa bergantung kepada ayam import,” jelas Dr. Barjoyai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI