fbpx
Keadaan air Sungai Sebulong di Kampung Baru Majidee, Johor Bahru berubah menjadi warna kebiruan-biruan.

Air Sungai Sebulong bertukar warna biru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Penduduk sekitar Kampung Melayu Majidee di sini dikejutkan dengan warna air Sungai Sebulong berubah menjadi kebiru-biruan yang dipercayai akibat tercemar.

Kejadian itu dikongsikan oleh pengguna akaun Facebook bernama Izzah Razak yang menyedari perubahan pelik itu ketika mengunjungi rumah ibu mertuanya, semalam.

Menurutnya, air sungai yang bertukar warna menjadi biru muda pekat itu seperti dituang cat manakala airnya berbuih dikhuatiri mengandungi bahan kimia.

“Biasanya, setiap kali ke sini, saya suka berjalan menyusuri sungai ni. Tapi hari ni, air sungai ni bertukar menjadi biru seperti dituang cat.

“Tengok dalam gambar pun menakutkan, airnya berbuih seperti sabun. Mungkin Ada kandungan bahan kimia, saya sendiri pun tak pasti. Sampah sarap pun banyak menyebabkan pengaliran air tak lancar,” tulisnya di laman Facebooknya bersama beberapa keping gambar sungai tersebut.

Wanita itu turut memaklumkan telah membuat aduan mengenai penemuan itu menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, tengah hari tadi.

Dalam pada itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu telah mendapat maklum berhubung kejadian pelik itu.

“Saya telah ditag oleh rakan netizen mengenai pencemaran ‘sungai biru’ yang diadukan oleh saudari Izzah Razak.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah mula menjalankan siasatan. Alam sekitar tanggungjawab kita bersama, terima kasih atas keprihatinan,” tulisnya ringkas di Facebook rasminya hari ini.

Izzah Razak turut membalas komen positif terhadap hantaran Tuan Ibrahim yang memberi maklum balas pantas berhubung aduan itu.

“Terbaik tuan, terima kasih cakna. Semoga dimudahkan urusan,” tulisnya di ruang komen. -K! ONLINE

POPULAR