fbpx

Stor ayam sejuk beku jadi tempat simpan 4 tan mercun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nasir (kanan) menunjukkan sebahagian mercun bola yang dirampas di Kampung Atas Pinggir, Tendong kelmarin.

RANTAU PANJANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menumpaskan satu sindiket penyeludupan dua jenis mercun seberat hampir empat tan yang disimpan di dalam sebuah stor ayam sejuk beku di Kampung Atas Pinggir, Tendong di sini kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu, JKDM Kelantan turut menahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an yang disyaki sebahagian daripada ahli sindiket yang membawa masuk mercun jenis bola dan CN4002 bernilai RM130,000 itu secara haram ke negara ini.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Nasir Deraman berkata, ketika serbuan dijalankan, lelaki terbabit berada di dalam stor berkenaan yang sebelum ini digunakan untuk menyimpan stok ayam beku seludup.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam stor itu telah membawa kepada penemuan 600 guni dan 15 kotak yang berisi kesemua mercun tersebut.

“Siasatan awal mendapati, mercun-mercun itu dipercayai diseludup untuk dipasarkan di negara ini sempena sambutan Tahun Batu Cina pada awal bulan depan.

“Penyeludup dipercayai membawa masuk mercun secara berperingkat melalui Sungai Golok dengan menggunakan bot ke tebing sungai sebelum ia dibawa ke stor berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Penguatkuasa JKDM Rantau Panjang di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nasir, berdasarkan siasatan, kesemua mercun-mercun itu disimpan di dalam stor berkenaan sebelum ia dibawa dan dijual di beberapa negeri di Selatan tanah air.

Ujarnya, suspek juta mengakui menerima upah sebanyak RM500 untuk menjaga bekalan mercun di stor berkenaan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI