PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melaksanakan Trace and Recovery Operation (TRO) 4.0 (Penyata Tanpa Bayaran) Siri 1/2026 dalam usaha mempertingkatkan kutipan negara menerusi operasi disasarkan kepada 1,425 pendaftar.
JKDM dalam kenyataannya memaklumkan, operasi ini menyasarkan pendaftar Cukai Jualan, Cukai Perkhidmatan dan Cukai Pelancongan yang telah mengemukakan penyata cukai tanpa bayaran.
Katanya, operasi khas bersepadu juga telah dijalankan secara serentak di seluruh negara bermula semalam hingga 28 Jun.
“TRO 4.0 merupakan inisiatif signifikan JKDM dalam mempertingkatkan kutipan hasil melalui pemerkasaan tahap pematuhan pendaftar cukai terhadap perundangan ditadbir oleh JKDM.
“Pelaksanaan TRO 3.0 yang lepas berjaya mewujudkan ‘positive compliance’ dalam kalangan pemain industri melalui tindakan penguatkuasaan lebih tegas termasuk tindakan pendakwaan sekiranya gagal mematuhi perundangan ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Menerusi hasil operasi TRO 3.0 dijalankan pada tahun lalu, sebanyak 225 syarikat telah dibuka kertas siasatan, 52 syarikat telah dikenakan kompaun dan 17 syarikat sedang dalam proses pertuduhan di mahkamah.
“Bagi suku pertama tahun 2026, JKDM mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM23.60 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM4.78 bilion atau 25 peratus berbanding RM18.82 bilion bagi tempoh sama pada tahun 2025.
“Peningkatan ini didorong oleh pelbagai inisiatif strategik termasuk pelaksanaan TRO 3.0 yang memberikan impak positif terhadap kecekapan pungutan hasil negara,” kata JKDM.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad menyempurnakan peluncuran TRO 4.0 di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, JKDM menyeru semua pembayar cukai untuk meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang percukaian negara.
“JKDM kekal komited dalam memastikan kestabilan kutipan hasil, malah turut sama menyokong pembangunan ekonomi di bawah kerangka Ekonomi Madani yang menekankan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














