fbpx
Tan Cheng Hoe (kiri) mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan­nya serta-merta pada minggu lalu.

Guna saja jurulatih luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

KRITIKAN demi kritikan dilemparkan buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan kemelut prestasi yang melanda skuad Harimau Malaya yang dianggap mengharungi tahun ‘malap’ sepanjang 2021.

Tersingkir pada peringkat kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 mungkin masih boleh diterima peminat negara, namun prestasi yang diharungi pada kempen Piala AFF Suzuki 2020 bulan lalu dianggap cukup memalukan.

Hal ini kerana skuad Harimau Malaya dilihat tidak menunjukkan sebarang peningkatan dengan kelemahan terserlah selepas tewas 0-3 kepada Vietnam dan 1-4 kepada Indonesia.

Susulan itu, bukanlah berita yang mengejutkan apabila Tan Cheng Hoe mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan­nya serta-merta pada minggu lalu sebagai tanda gentleman.

FAM pula mengambil langkah untuk menubuhkan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya bagi mengenal pasti punca atau penambah baikan.

Kini, tumpuan sudah tentulah terarah kepada siapa yang layak untuk menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Cheng Hoe apabila ramai pihak yang mahukan pengendali import kembali membimbing skuad Harimau Malaya.

Pada Piala AFF Suzuki 2020, negara-negara rantau Asia Tenggara memilih untuk menggunakan kepakaran luar seperti Vietnam kekal dengan sentuhan Korea Selatan menerusi Park Hang-seo, Indonesia (Shin Tae-yong/Korea Selatan), Kemboja (Ryu Hirose/Jepun) dan Laos (V. Selvaraj/Singapura).

Sementara itu Singapura (Tatsumi Yoshida/Jepun), Fili­pina (Scott Cooper/England), Myanmar (Antoine Hey/Jerman), dan Thailand (Alexandre Pol­king/Brazil).

Namun, Malaysia masih kekal percayakan sentuhan ‘anak tempatan’ dan mungkin tindakan tersebut menjadi salah satu faktor taktikal skuad negara se­perti mudah dibaca.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya sebelum ini pernah dibimbing oleh pengendali import seperti Ken Worden, Claude Le Roy, Hatem Souisi, Allan Harris, Bertalan Bicskei dan Nelo Vingada.

Penganalisis sukan tempatan, Dr. Pekan Ramli percaya jalan penyelesaian terbaik yang boleh dilakukan oleh badan induk bola sepak negara itu adalah mencari jurulatih luar yang berkaliber.

“FAM perlu segera menekan butang panik dengan mengambil pendekatan serius bagi membetulkan falsafah bola sepak negara kerana taktikal yang diterapkan sebelum sudah ketinggalan zaman dan mudah dibaca.

“Tidak keterlaluan untuk saya katakan melantik jurulatih import seperti yang dilakukan oleh Vietnam dan Indonesia yang memilih acuan Korea Selatan ketika ini telah membuahkan hasil termasuk Thailand yang dibim­bing Polking,” katanya kepada Kosmo!.

Langkah tersebut dipersetujui oleh pengarah teknikal FAM yang baharu, Scott O’Donell.

O’Donell menegaskan, perubahan kerusi ketua jurulatih perlu dilakukan demi kebaikan jangka masa panjang bola sepak negara yang sebelum ini dikritik hebat ekoran kegagalan pada kempen Piala AFF Suzuki 2020.

“Saya melihat skuad Harimau Malaya selepas ini perlu dibim­bing oleh jurulatih asing bagi mengubah landskap dan masa depan bola sepak Malaysia ke satu dimensi baharu.

“Ia bukan hanya untuk jangka masa pendek tetapi buat jangka masa panjang,” katanya.

Bukan menafikan kualiti yang ada pada pengendali tempatan, namun, penyokong skuad negara sudah cukup lama menantikan aksi konsisten pasukan negara khususnya di pentas antarabangsa.

Namun, harapan sudah pasti lantikan seterusnya tidak me­ngulangi kesilapan ketika melantik Vingada yang ternyata gagal selepas tidak membantu pasukan meraih kemenangan langsung pada tahun 2017 sebelum digantikan dengan Cheng Hoe.

POPULAR

BERITA BERKAITAN