fbpx
PARA penyelidik kini sedang rancak menjalankan penyelidikan sebelum peranti kit halal dapat dihasilkan.–FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Kit kesan DNA babi pada makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GABUNGAN penyelidik dari fakulti-fakulti di Universiti Malaya kini sedang rancak melakukan penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan peranti kit halal.

Ia membolehkan orang ramai mengesan kehadiran DNA babi dalam makanan sekali gus bakal memperkukuh industri halal di negara ini.

Kit halal ini masih dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta sudah 70 peratus siap untuk fasa pertama.

Peranti kit halal yang bakal disiapkan itu boleh digambarkan seperti kit ujian kendiri Covid-19 yang membolehkan kita melakukan ujian pengesanan sendiri.

Mekanisme penggunaan peranti kit itu dalam mengesan DNA babi juga hanya akan dapat diperincikan kemudian setelah kit tersebut disiapkan.

——————————————————————————————————————————————–

BAGI umat Islam mencari makanan yang halal adalah satu kewajipan.

Malah di dalam Al-Quran, Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud:

“Wahai manusia! Makanlah daripada makanan yang halal dan baik yang terdapat di Bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

Oleh itu, sebagai umat Islam, kita harus peka dalam mencari makanan yang halal, toyyiban dan terpelihara daripada unsur haram.

Pun begitu, dalam kepelbagaian makanan hari ini, kadangkala tanpa disedari produk makanan yang kita ambil mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Menyedari akan permasalahan ini, satu pasukan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) telah mengambil inisiatif untuk membangunkan peranti kit bagi mengesan status halal menggunakan teknologi nano berasaskan templat DNA di bawah pembiayaan Geran Universiti Malaya berimpak tinggi bernombor IIRG002-19SAH.

Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Nor Kartini Abu Bakar berkata, cetusan idea untuk menghasilkan peranti tersebut bermula apabila melihat terdapat kekangan dari segi analisis halal secara mesra pengguna.

Menurutnya, analisis halal yang standard dijalankan di dalam makmal menggunakan kaedah tindak balas kimia yang dikenali sebagai polymerase chain reaction (PCR).

Kaedah ini sangat berkesan dalam mengesan status halal.

BEGINILAH rupa filem nipis pengesanan atau biosensor yang berjaya dihasilkan penyelidik UM.

“Bagaimanapun kaedah itu selama ini hanya boleh dijalankan di dalam makmal dan tidak dapat dilakukan oleh pengguna biasa. Justeru, bagi memenuhi permintaan pengguna mengesan status halal secara terus dan real time, penghasilan kit halal adalah penyelesaiannya.

“Atas sebab itu kami mengambil alternatif membangunkan kit halal untuk tujuan itu. Kit halal ini boleh memberikan keputusan saringan awal terhadap kehadiran DNA babi dalam produk makanan,” katanya yang bertugas di Jabatan Kimia, Fakulti Sains UM kepada K2.

Bagaimanapun katanya, kit halal ini masih dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta sudah 70 peratus siap untuk fasa pertama.

Untuk lebih mudah difahami, peranti kit halal yang bakal disiapkan itu boleh digambarkan seperti kit ujian kendiri Covid-19 yang membolehkan kita melakukan ujian pengesanan sendiri.

Mekanisme penggunaan peranti kit itu dalam mengesan DNA babi juga hanya akan dapat diperincikan kemudian setelah kit tersebut disiapkan.

Kongsi Nor Kartini, bagi fasa pertama, pasukan penyelidik telah berjaya membangunkan filem nipis pengesanan DNA atau dikenali sebagai biosensor yang menjadi asas penghasilan kit halal itu.

“Kemudian untuk fasa seterusnya kita akan bangunkan kit halal yang lengkap dan digunakan serta sesuai dibawa ke mana-mana pada bila-bila masa,” jelas Nor Kartini.

Berbicara tentang penyelidikan pembangunan peranti itu, Nor Kartini berkata, ia dimulakan sejak November 2019 dan melibatkan penyelidik dari empat fakuti di UM iaitu Sains, Kejuruteraan,
Perniagaan & Ekonomi serta Akademi Pengajian Islam.

DATA yang menunjukkan kehadiran DNA babi dapat dilihat pada komputer dalam proses penyelidikan ini.

“Kerjasama keempat-empat fakulti ini penting bagi membolehkan kit halal ini dikomersialkan apabila siap sepenuhnya nanti. Pembangunan kit halal ini kelak akan memperkukuh lagi pembangunan industri halal negara,” katanya.

Sebagaimana sedia maklum, masalah status halal sesuatu produk makanan sering menjadi isu hangat yang diperdebatkan. Hal ini sedikit sebanyak telah memberikan keraguan kepada pengguna.

Namun, dengan adanya inisiatif untuk membangunkan kit halal mengesan DNA babi ini, sedikit sebanyak akan memberi penyelesaian kepada masalah ini.

Pengguna boleh membawanya bersama ke mana-mana untuk digunakan ketika berlaku keadaan ragu-ragu terhadap status makanan, terutama sekali ketika sedang melakukan perjalanan ke luar negara.

Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Ekramul Mahmud yang merupakan salah seorang penyelidik menjelaskan, filem nipis polimer yang dibangunkan mampu mengesan DNA babi dalam sebarang produk makanan.

“Filem polimer ini bukan hanya boleh mengesan DNA babi pada daging mentah semata-mata, malah juga boleh mengesan DNA itu sama ada di dalam minyak, lemak, air dan lain-lain lagi

“Melalui kaedah ini, filem polimer ini akan mengesan DNA babi sahaja.

“Kit halal ini akan mengeluarkan isyarat yang mudah difahami pengguna sekiranya terdapat DNA babi dalam makanan tersebut,” katanya.

DNA babi pada makanan termasuk minyak boleh dikesan menerusi peranti itu kelak.

Ekramul menjelaskan, filem nipis polimer ini dibina berdasarkan teknologi kimia yang disebut sebagai teknologi Molecular Imprinted (MIP).

Secara mudahnya dapat difahami, teknologi ini digunakan untuk membentuk acuan atau templat DNA di atas filem nipis polimer. Templat inilah yang memerangkap DNA babi ketika ujian dijalankan oleh pengguna.

Pemerangkapan DNA babi ini seterusnya menghasilkan isyarat yang dapat difahami oleh pengguna.
Ekramul menyifatkan antara cabaran terutamanya dalam menghasilkan filem nipis polimer mengesan DNA babi itu adalah bagi memastikan ia memberi tindak balas cepat serta memberi keputusan 100 peratus tepat.

“Untuk tujuan ini, kita telah melakukan analisis dan ujian makmal berulang kali,” jelasnya.

Dalam pada itu, fasa kedua proses pembinaan kit halal ini yang dijalankan oleh ahli pasukan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan, Dr. Salmah Karman juga telah pun bermula.

Pada fasa kedua ini, Salmah dan pasukannya telah menjalankan proses permodelan dan simulasi kepada aplikasi kit halal tersebut.


NOR KARTINI (depan kanan), Salmah (tengah) dan Ekramul (depan kiri) bersama pasukan penyelidik yang lain dari Universiti Malaya yang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan menghasilkan kit halal itu.

“Melalui proses simulasi, model yang terbaik dapat dikenal pasti seterusnya dipilih untuk proses pengkomersialan.Dengan mengadaptasi teknologi sedia ada, kit halal ini akan terus ditambah baik serta mampu disesuaikan mengikut keperluan semasa,” ulasnya.

Tambahnya, pihaknya juga cuba mengadaptasi tukaran isyarat pengesanan dalam satu bentuk data mudah difahami pengguna misalnya menerusi nombor, digital atau warna.

Jelasnya, mereka kini telah mempunyai reka bentuk asas penghasilan kit peranti itu cuma perlu menggabungkan dengan isyarat pengesanan yang sesuai.

“Dalam masa sama pasukan penyelidik lain akan menyediakan larutan ekstrak yang boleh digunakan bersama kit peranti ini. Selepas itu larutan ekstrak akan diuji bersama kit peranti ini untuk melihat keserasiannya sebelum menjadi kit peranti lengkap.” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN