fbpx

Tegur ambil ubat nyamuk tanpa izin, lelaki parah dipukul anak saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mangsa semakin stabil selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. - FOTO: MEDIA SOSIAL

KOTA BHARU – Seorang lelaki parah pada bahagian kepala selepas dipukul dengan sebatang kayu apabila menegur anak saudaranya yang mengambil ubat nyamuk tanpa kebenaran dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Tempoyak di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, mangsa yang berusia 55 tahun sempat berlari ke rumah adiknya yang terletak di kampung sama dalam keadaan berlumuran darah untuk mendapat bantuan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang juga duda dan bekerja kampung tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, suspek berusia 30 tahun yang juga tinggal di kampung berkenaan datang ke rumah mangsa sebelum mengambil sekotak ubat nyamuk tanpa kebenarannya.

“Mangsa kemudian menegur suspek yang didakwa sering mengambil barangnya tanpa izin. Keadaan itu menyebabkan suspek berang dan terus memukul mangsa di kepala menggunakan sebatang kayu sebelum melarikan diri.

“Mangsa yang cedera parah dan berlumuran darah terus menuju ke rumah adik sebelum memaklumkan bahawa dia dipukul oleh anak saudaranya sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohd. Suhaimi, selepas menerima laporan kejadian itu, polis terus menahan suspek pada pukul 8.45 pagi tadi di tepi sungai di kampung tersebut.

Ujarnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI