fbpx

Petani, penternak Melaka rugi RM2.8 juta akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sulaiman

MELAKA – Penternak dan petani di negeri ini menanggung kerugian kira-kira RM2.8 juta susulan bencana banjir yang melanda pada, minggu lalu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, jumlah itu direkodkan oleh Jabatan Pertanian negeri hasil laporan diterima daripada pengusaha yang tampil selepas bencana beransur pulih.

Ujarnya, hasil perbincangaan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam, kerajaan negeri memutuskan untuk membuat permohonan kepada kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan bantuan berkaitan isu tersebut.

“Setakat ini anggaran kerugian yang dialami mereka adalah sebanyak RM2.8 juta melibatkan tanaman kontan, ternakan lembu, kambing dan lain-lain lagi.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat memberikan jumlah tepat petani dan penternak yang terjejas kerana semua dapatan ini direkodkan secara berterusan menerusi laporan dibuat,” katanya pada sidang akhbar MMKN di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Pada 31 Disember lalu, Melaka dilanda bencana banjir dengan sebanyak 34 kawasan di tiga daerah terjejas dan seramai 2,643 penduduk terpaksa dipindahkan ke 13 buah pusat pemindahan sementara (PPS).

Sehingga pukul 8 pagi tadi, seramai 466 mangsa terdiri daripada 128 buah keluarga juga masih ditempatkan di enam buah PPS.

Dalam pada itu, Sulaiman memberitahu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran penggantian hak milik (berkaitan tanah) yang rosak akibat banjir.

“Pemohon perlu mengemukakan bukti yang mereka terlibat dengan banjir sebelum pengecualian dapat diberikan.

“Selain itu, berkaitan dengan perancangan pembangunan perumahan di kawasan berisiko banjir, kita mahu semua perancangan projek melibatkan lokasi berpaya atau berhampiran sungai melalui kajian terperinci,” katanya.

Jelasnya, antara butir kajian yang perlu diteliti adalah perubahan jumlah taburan hujan di negeri ini iaitu daripada 60 sehingga 70 milimeter (mm) kepada 170mm sehingga 200 mm. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI