fbpx

Maybank cari CEO baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Farid Alias

PETALING JAYA – Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GPCEO) Maybank, Datuk Seri Abdul Farid Alias telah membuat keputusan untuk tidak memperbaharui kontraknya yang akan tamat pada 1 Ogos 2022.

Farid yang memegang jawatan itu sejak 2 Ogos 2013 memaklumkan kepada Lembaga Pengarah Maybank bahawa beliau ingin mengikuti minat peribadinya selepas berakhir penggal ketiganya sebagai GPCEO.

Proses untuk mengenal pasti GPCEO baharu Maybank telah bermula dan sedang dijalankan, diketuai oleh Lembaga Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, Farid akan terus menyelia pengurusan dan operasi Maybank sehingga penggantinya menyandang jawatan tersebut, bagi memastikan peralihan kepimpinan berjalan dengan lancar.

“Lembaga Pengarah kini sedang menjalankan proses semakan dan penilaian secara teliti untuk mengenal pasti pengganti yang sesuai, termasuk menilai calon dalaman dan luaran.

“Pelantikan baharu akan diumumkan sebaik sahaja kami memperoleh kelulusan kawal selia yang diperlukan.

“Walaupun kami kecewa kerana beliau tidak mahu membaharui kontraknya, Lembaga Pengarah menghormati keputusan ini dan bagi pihak Kumpulan, saya mengucapkan terima kasih atas sumbangan, perkhidmatan dan komitmen luar biasa beliau dalam membina organisasi berpandangan hadapan yang telah mendahului kebanyakan rakan serantaunya, terutamanya dalam bidang digital dan kemampanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Farid, 53, memulakan kerjaya perbankannya di Aseambankers, anak syarikat Kumpulan Maybank pada Januari 1992 sebelum meluaskan pengalamannya bersama syarikat seperti Schroders, Malaysia International Merchant Bankers, JP Morgan dan Khazanah Nasional Berhad.

Beliau menyertai semula Maybank pada Januari 2009 dan telah memegang beberapa jawatan perniagaan utama seperti Ketua Perniagaan Antarabangsa dan Timbalan Presiden serta Ketua Perbankan Global sebelum pelantikannya sebagai GPCEO. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI