fbpx
BAYI itu ditemui ditinggalkan di dalam kotak ketika suhu mencecah satu digit. - Facebook

Bayi ditemui kesejukan bersama nota menyayat hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di dalam sebuah kotak bersama sekeping nota menyayat hati daripada seorang ibu yang terdesak kerana tidak mampu untuk menjaga anaknya itu, lapor akhbar New York Post semalam. 

Kejadian tersebut berlaku di negeri Alaska, Amerika Syarikat. Ibu pejabat polis Alaska menerima laporan mengenai penemuan seorang bayi sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan) pada 31 Disember lalu, kata  polis dalam satu kenyataan.

Suhu ketika itu mencecah satu digit, demikian menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.

Seorang penduduk bandar Fairbanks, Roxy Lane menemui bayi tersebut yang dibungkus dengan selimut berhampiran peti surat rumahnya. Dia menyiarkan rakaman kejadian itu di akaun media sosialnya. 

Berdasarkan nota yang ditemui, bayi dinamakan Teshawn itu dilahirkan 12 minggu pramatang pada 31 Disember 2021 pukul 6 pagi (waktu tempatan) oleh seorang wanita yang berusia 28 tahun.

Jelas nota itu, ibu bapa, datuk dan nenek Teshawn tidak mempunyai makanan atau wang untuk membesarkannya. 

‘’Ibu saya sangat sedih untuk melakukan ini. Tolong bawa dan carikan saya ‘Keluarga Penyayang’. Ibu bapa saya merayu sesiapa yang menemui saya,’’ demikian tulis nota itu.

Bayi itu kemudian dibawa oleh Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) ke hospital tempatan dan ‘didapati dalam keadaan sihat’, kata polis.

Menurut Lane, ibu bapa kepada bayi itu mungkin tidak tahu mengenai undang-undang Alaska yang membenarkan anak yang tidak diingini untuk dihantar ke hospital, gereja atau polis atau balai bomba tempatan. – Agensi

POPULAR