fbpx

1,000 sukarelawan MARA bantu mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azhar (kiri) membantu penduduk membersihkan kawasan rumah dalam program Kampung Angkat KPLB di RTB Bukit Changgang di sini, hari ini. - FAISOL MUSTAFA

KUALA LANGAT – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menggerakkan kira-kira 800 hingga 1,000 sukarelawan sejak minggu lalu bagi melaksanakan misi membantu penduduk yang terjejas ekoran banjir di tiga negeri meliputi Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, sukarelawan tersebut melibatkan komuniti MARA terdiri daripada pegawai dan kakitangan termasuk anak syarikat serta pensyarah dan pelajar dari institusi pendidikan MARA.

“Sejak hari ketiga pasca banjir, kita bergerak antara 800 hingga 1,000 sukarelawan melibatkan komuniti MARA bagi melaksanakan misi pasca banjir di tiga kawasan tersebut.

“Antara kerja-kerja yang dilakukan seperti pembersihan rumah, perkhidmatan pemeriksaan pendawaian dan perkakasan elektrik. Sekiranya kerosakan itu ‘minor’, kita boleh baiki,” katanya kepada pemberita ketika ditemui Program Kampung Angkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini hari ini.

Pada program tersebut, seramai 120 sukarelawan MARA melaksanakan misi pasca banjir melibatkan 18 rumah penduduk di Kampung RTB Bukit Changgang yang juga kampung angkat KPLB.

Dalam masa sama, Azhar berkata, sekiranya ada permintaan daripada pemilik rumah yang terkesan banjir mahu melakukan pemeriksaan di kediaman mereka, pihaknya boleh menghantar tenaga pengajar institut kemahiran MARA bagi menjalankan perkhidmatan itu.

“Selain itu di bawah KPLB, kita ada pelbagai agensi dan kita boleh bergabung bersama bukan sahaja MARA tetapi ajak bergerak di bawah kementerian dalam melaksanakan misi ini. Yang penting ialah dapat keizinan daripada tuan rumah,” ujarnya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI