fbpx

CEO pula didakwa kemuka pernyataan palsu pada Bursa Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Serba Dinamik Holdings Bhd, Datuk Mohd. Abdul Karim Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia), Februari lalu.

Bagaimanapun Mohd. Abdul Karim, 56, yang juga Pengarah Urusan syarikat itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Abdul Karim selaku pengarah syarikat tersebut didakwa dengan niat untuk menipu telah mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia berhubung hal ehwal Serba Dinamik yang terkandung di dalam “Serba Dinamik Holdings Berhad’s Quarterly Report on the Consolidated Results for the Quarter and Year Ended 31 December 2020”.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan, di sini pada 26 Februari lalu (2021) yang didakwa mengikut Seksyen 369(a)(B) dibaca bersama Seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 369 akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM3 juta, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Zul’aida Zulkifli tidak menawarkan sebarang jaminan mengambil kira faktor tertuduh sepatutnya dituduh di mahkamah atas kesalahan sama bersama tiga pegawai Serba Dinamik yang lain semalam, namun dia tidak menghadirkan diri.

“Berikutan itu, waran tangkap telah dikeluarkan terhadap tertuduh semalam. Namun, sekiranya jaminan akan ditawarkan mengikut budi bicara mahkamah, pihak kami menawarkan jumlah RM2 juta dengan dua penjamin warganegara berserta syarat tambahan pasport diserahkan dan melaporkan diri ke pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti secara berkala sehingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya bukan mahu melarikan diri tetapi diberikan notis terlalu singkat untuk hadir ke mahkamah semalam.

“Anak guam saya memerlukan sedikit masa untuk berunding dengan pihak kami (peguam). Waran tangkap telah dikeluarkan semalam tetapi pada hari ini anak guam saya telah hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan ke atasnya,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim Sabariah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti secara berkala sehingga kes selesai serta menetapkan 27 Januari 2022 untuk sebutan semula kes itu.

Semalam pengarah dan dua pegawai syarikat sam turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa di Mahkamah Sesyen sama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI