fbpx

Dari simulator ke perlumbaan sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMUDA berusia 22 tahun ini bermula dengan permainan simulator sebelum beralih ke litar perlumbaan bagi membuktikan dia juga boleh berjaya seperti orang lain.

SIAPA sangka bermula dengan bermain permainan video simulator perlumbaan kereta membolehkan
pemuda berusia 22 tahun itu mengecapi kejayaan cemerlang dalam arena permotoran.

Ady Rahimy Rashid berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan perlumbaan Siri Kejuaraan Malaysia
(MCS) pada 2019 meskipun baru pertama kali menyertainya.

Kejuaraan diraih oleh pelumba berasal dari Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan itu cukup luar biasa apabila berjaya memenangi lima daripada sembilan pusingan perlumbaan yang dilangsungkan.

Kejayaan dalam kelas S Production (SP2) itu telah membuka mata banyak pihak bahawa pemain simulator juga mampu meraih kejayaan pada perlumbaan sebenar.

“Ketika kali pertama di atas litar, saya sudah berjaya memenangi perlumbaan. Selepas itu, ramai mula sedar bahawa saya sebelum ini hanya seorang pemandu simulator.

“Saya hendak tekankan di sini bahawa bukan main simulator sahaja, sebaliknya saya mendapat bimbingan daripada bapa yang juga seorang pelumba profesional.

“Bapa banyak mengajar saya mengenai teknik pemanduan perlumbaan yang betul, selain menurunkan segala pengalamannya sebagai pelumba,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam dunia permotoran, Ady Rahimy berkata, segalanya bermula sejak dia berusia lima tahun apabila terlibat dengan perlumbaan motosikal mini.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, ia hanya bertahan selama beberapa tahun sebelum berhenti bagi memberi tumpuan penuh pada pelajaran.

“Selepas tamat sekolah menengah, saya mengambil lesen kereta. Selepas ada lesen, saya masuk kelas pemanduan advance yang ditawarkan oleh syarikat bapa.

“Ketika kelas pemanduan advance ini, saya belajar teknik berlumba. Bapa punya cara, belajar teori dahulu, selepas itu simulator dan diikuti dengan praktikal,” tegasnya.

Kebetulan ketika itu, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ada menganjurkan perlumbaan e-MCS dan Ady Rahimy berpeluang untuk menyertainya.

Percubaannya ternyata membuahkan hasil apabila dia dinobatkan sebagai pemenang perlumbaan e-MCS, sekali gus diserapkan dalam Program Pembangunan Bakat SIC.

ADY RAHIMY beruntung mendapat tunjuk ajar daripada bapanya yang juga seorang pelumba profesional.

Menerusi program berkenaan, Ady Rahimy ditawarkan tempat untuk berlumba pada perlumbaan sebenar MSC bersama pasukan HI REV SIC Dream Chaser pada musim 2019.

“Malangnya, ia hanya bertahan setahun sebelum program itu dibubarkan atas sebab-sebab tertentu.
Sepatutnya pada program itu, saya ditaja oleh SIC selama tiga tahun.

“Tahun lalu saya bersaing bersama pasukan BHP Racing Team. Pada tahun ini pula bersama 23 Motors Racing Team dan Zaquin Racing Team dalam saingan MCS, MSF  (Malaysia Speed Festival), TGR (Toyota Gazoo Racing) dan S1K (Sepang 1000km Endurance),” katanya.

Menurut Ady Rahimy, perlumbaanpada tahun ini cukup mencabar dari  segi fizikal dan mental memandangkan jadualnya sangat padat terutamanya pada Oktober, November dan Disember.

Jelas pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaya itu
selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan, banyak perlumbaan diadakan serentak.

“Sepanjang tiga bulan ini, boleh dikatakan tiap-tiap hujung minggu ada perlumbaan. Malah, pada hari bekerja pun ada perlumbaan. Ia sangat mencabar bagi pelumba baharu seperti saya.

“Kadang-kadang saya terpaksa ponteng kuliah bagi menyertai perlumbaan. Selepas itu, saya terpaksa
ulang kaji balik subjek yang tertinggal daripada rakan-rakan,” ujarnya lagi.

Pemuda yang menjadikan pelumba Formula Satu, Lewis Hamilton sebagai idola itu berkata, dia memasang impian menyertai perlumbaan peringkat antarabangsa pada masa depan.

Tegasnya, impian tersebut tidak mustahil untuk direalisasikan sekiranya mempunyai keinginan dan semangat juang yang tinggi ketika perlumbaan.

“Saya sedar bukan mudah untuk sampai ke tahan global. Namun saya berharap dapat menyertai World
Touring Car Racing atau FIA World Endurance Championship suatu hari nanti.

“Ketika ini, saya perlu menimba sebanyak mungkin pengalaman pada perlumbaan tempatan.

“Sebenarnya, ramai pelumba tempatan yang berbakat dan berpengalaman luas,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI