PETALING JAYA – Tindakan seorang penunggang motosikal menendang sebuah kereta di sebuah plaza tol mencetuskan kemarahan orang ramai baru baru ini.
Menerusi satu hantaran video di media sosial, penunggang motosikal berkenaan dilihat sengaja memasuki lorong tol kenderaan lain dan bukannya lorong khas motosikal yang disediakan secara percuma itu.
Kejadian menjadi lebih tegang apabila individu terbabit bertindak menghimpit sebuah kereta di plaza tol berkenaan sebelum bertindak agresif menendang pintu kenderaan tersebut beberapa kali.
Tindakan yang dianggap kurang cerdik itu mendapat kecaman daripada orang ramai yang rata-ratanya berang dengan sikap samseng jalanan yang mencalarkan imej penunggang motosikal lain.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu tersebut dengan menggunakan rakaman papan pemuka (dashcam) tersebut bagi mengesan nombor pendaftaran suspek.
“Ambil tindakan tegas, kenapa penunggang motosikal ini masuk ke ruangan tol sedangkan ada laluan khas untuk mereka. Sebab mereka ini lah imej penunggang lain jadi buruk,” kata pengguna @aimann.zz.
“Kalau ya pun kereta itu ada buat benda tak betul sebelum itu tapi jangan lah buat perkara yg mungkin membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain. Perbuatan tidak menghalalkan cara,” kata pula pengguna @a2121_ag_tauruz.
“Mujur kereta tak balas balik dan nasib ada dashcam. Harap polis akan ambil tindakan,” ujar pengguna @man.h.r.e.
Sehingga kini, belum ada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kejadia yan berlaku itu. – KOSMO! ONLINE














