fbpx

Banjir: PDRM sumbang kudrat bantu mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota serta pegawai dari PSP Cheras berganding bahu melakukan kerja-kerja membersihkan beberapa kawasan di sekitar Hulu Langat. -Foto IHSAN PDRM

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan khidmat kepada masyarakat apabila turut bersama-sama turun padang dan menggembleng tenaga membantu mereka yang terkesan akibat bencana banjir.

PDRM menerusi satu kenyataan berkata, segala bantuan dan operasi menyelamat yang disalurkan mereka sedang giat dijalankan oleh warga PDRM kepada mangsa-mangsa banjir sehingga ke saat ini.

“PDRM menerusi pelbagai unit berserta aset telah digerakkan ke beberapa lokasi yang terjejas akibat bencana banjir bagi menghulurkan bantuan seperti mengedarkan barangan keperluan termasuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Warga kerja Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Cheras diketuai oleh Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim telah menggembleng tenaga membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir di beberapa kawasan di Hulu Langat,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelas kenyataan itu, antara kawasan yang dibersihkan adalah Masjid Ar Rahman, Kampung Sungai Lui dan Masjid Hisamudin Alam Shah, Batu 14 Hulu Langat, Selangor.

“Aset milik PSP seperti ‘water cannon’ dan lori telah digunakan bagi memastikan tugas pembersihan kawasan berjalan dengan lancar malah kotak makanan yang dikumpulkan sendiri oleh mereka turut diedarkan kepada mangsa banjir di kampung Orang Asli Batu 23, Hulu Langat.

“PSP Cheras bersama Cawangan Integriti dan Pematuhan Standard, Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras turut membantu mengumpulkan kira-kira 800 naskah al-Quran dan buku-buku agama di Masjid Ar Rahman, Sungai Lui yang rosak akibat banjir,” katanya.

Kesemua naskah tersebut seterusnya telah dibawa ke Masjid Al-Amin Briged Tengah PGA bagi tujuan pelupusan.

Briged Tengah PGA Cheras seterusnya meneruskan misi bantuan kemanusiaan dengan melakukan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Rendah Agama Dusun Tua, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Choon Hwa dan Balai Polis Batu 19, Hulu Langat, yang terjejas akibat banjir.

Dalam pada itu, warga kerja polis kontinjen Pahang termasuk pegawai awam dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis dan Cameron Highland telah menghulurkan bantuan melakukan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis, Pahang.

“Kerja-kerja pembersihan turut disertai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Daerah Kuala Lipis bersama warga pendidik SMK Clifford,” ujar kenyataan itu.

Tambahnya, pihak PDRM sentiasa mendoakan agar kesemua mangsa banjir dipermudahkan segala urusan dan sentiasa bertabah dalam apa jua keadaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI