fbpx

Gantung VTL Darat jejas pembukaan semula ekonomi Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Keputusan kerajaan menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia dan Singapura akan menjejaskan pembukaan semula sektor ekonomi Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, hal itu kerana peniaga telah mula mengeluarkan modal baharu ekoran pelaksanaan VTL darat sebelum ini.

Katanya, walaupun penggantungan itu hanya sementara namun ia tetap memberi kesan khususnya kepada sektor perniagaan yang bergantung kepada Singapura.

“Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad akan mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok yang mana perkara ini akan turut dibincangkan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, pihaknya memutuskan untuk menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL Malaysia dan Singapura bermula esok hingga 20 Januari 2022.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu susulan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu berhubung satu kluster tempatan Covid-19 kemungkinan varian Omicron.

“Hasil ujian mendapati, dua daripada tiga kes positif itu menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan mereka tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

“Bagi pengembara yang telah pun memiliki tiket perjalanan bagi VTL darat dan udara serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, mereka boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif VTL ini,” ujarnya.

Tambah beliau, penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua insiatif VTL ini akan dibuka semula bermula 21 Januari 2022 selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara.

“Bagaimanapun kuota tiket yang dijual akan dikurangkan daripada kuota sedia ada,” tambahnya.

Sementara itu, Pengurus syarikat Handal Indah Sdn. Bhd., Mahathir Annuar berkata, tiket perjalanan pergi balik melalui bas Causeway Link antara 20 Disember hingga 2 Januari telah habis setelah tempahan dibuka bermula 15 Disember lalu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI