fbpx

Banjir: 206 lokasi di enam negeri masih terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah keluarga mengharungi banjir demi menyelamatkan diri di Seksyen 23 Shah Alam baru-baru ini. – Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

PUTRAJAYA – Sebanyak 206 lokasi di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kedah masih terjejas akibat banjir setakat tengah hari tadi.

Situasi terbaharu itu dikongsi Pusat Kawalan Operasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Nadma, ia membabitkan lapan daerah di Selangor, Negeri Sembilan (tiga), Terengganu (dua), Kelantan (tiga), Pahang (lapan) dan Kedah (tiga).

Antara lokasi yang masih terjejas termasuk Bera, Jerantut, Maran, Raub, Pekan, Temerloh, di Pahang dan Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat di Selangor.

“Selain itu, sebanyak 83 jalan persekutuan dan 126 jalan negeri terjejas akibat banjir membabitkan banjir kilat, banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak,” katanya.

Selain itu, katanya, setakat ini, seramai 64,506 mangsa banjir daripada 14,930 keluarga masih ditempatkan di 389 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh buah negeri.

Mangsa banjir paling ramai direkodkan di Pahang dengan 32,995 orang diikuti Selangor (28,180), Kelantan (2,505), Negeri Sembilan (329), Perak (268), Melaka (165) dan Kuala Lumpur (64).

Sementara itu, Nadma memaklumkan, paras air di beberapa sungai di tiga negeri berada pada tahap bahaya setakat pukul 12 tengah hari tadi berdasarkan rekod Jabatan Pengairan dan Saliran, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Menerusi laman web rasmi Public Infobanjir, tahap bahaya direkodkan di Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat; Sungai Kuang di Kampung Melayu Seri Kundang, Gombak; Sungai Rasau di Tugu Keris, Klang; Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh dan Sungai Pahang di Temerloh (Lubuk Pasu), Temerloh.

Selain itu, Sungai Pahang di Water Front, Bera; Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera, Bera; Sungai Jengka di Jambatan Kampung Awah, Maran; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan; Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI