fbpx

Verstappen dianggap jelmaan Senna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VERSTAPPEN berjaya meraih 10 kemenangan Grand Prix musim ini untuk mengumpul 395.5 mata. – AFP

PELUMBA muda dari Belanda, Max Verstappen melengkapkan impiannya apabila berjaya muncul juara dunia Formula Satu (F1) selepas mengesahkan kemenangan pada aksi penutup di Grand Prix (GP) Abu Dhabi di Litar Yas Marina pada Ahad lalu.

Jika diimbas semula kejayaan Verstappen merangkul gelaran dunia sulungnya pada usia 24 tahun, ia bukan tugas mudah terutama perseteruannya dengan pemandu Mercedes, Lewis Ha­milton yang dianggap antara pelumba terbaik sepanjang zaman.

Bagaimanapun, kejayaan Verstappen merangkul gelaran dunia pertamanya itu bukan dianggap sekadar nasib memandangkan pemandu Red Bull Racing tersebut sebenarnya memiliki darah seorang pelumba.

Ayahnya, Jos Verstappen merupakan bekas pelumba F1 dari 1994 sehinggalah 2003 bersama pasukan Minardi, manakala, ibunya, Sophie Kumpen adalah bekas pelumba go-kart dan turut bergiat aktif dalam sukan permotoran.

Didikan keluarganya adalah bahagian penting dalam kisah perjalanan karier Verstappen kerana ketika menjejak kaki ke saingan berprestij itu sejak 2014, dia dianggap pelumba berbakat yang mampu menggegar dunia pada satu hari nanti.

Penglibatan Verstappen dalam sukan itu bermula didikan ayahnya seawal usia empat tahun yang memperkenalkan sukan go-kart meskipun persediaannya dianggap agak melampau, namun segala pengorbanan dibayar dengan kejayaan membanggakan.

MEMULAKAN debut pada usia 17 tahun, Verstappen meraih kemenangan pertamanya dalam F1 pada 2016 di GP Sepanyol. – AFP

Jos menegaskan, anaknya itu mula tertarik pada perlumbaan sejak usia dua tahun dan selepas berumur empat tahun, Verstappen menangis kerana mahu mencuba dalam sukan go kart.

Selepas itu, Jos memberi tumpuan kepada minat anaknya dalam sukan perlumbaan dengan fokus untuk melahirkan pelumba terbaik dunia satu hari nanti.

Verstappen meneruskan perjalanan karier­nya selepas dipanggil menyertai pasukan Red Bull Junior Team atau dikenali sebagai Scuderia Toro Rosso pada musim 2014 selepas menolak tawaran Mercedes.

Ketika itu, Helmut Marko membawa Verstappen ‘lompat’ ke perlumbaan F1 pada usia 17 tahun kerana melihat bakat besar pelumba Belanda tersebut selain menganggap dia adalah jelmaan kepada juara dunia tiga kali, ­Ayrton Senna.

Meskipun ramai meragui kemampuan Verstappen, namun Marko melihat pelumba muda itu mempunyai sesuatu yang luar biasa sekali gus menjadikannya pemandu termuda menyertai saingan F1 pada usia 17 tahun 166 hari.

Pada 2016 Verstappen berjaya meraih kemenangan Grand Prix pertama di Sepanyol sekali gus menjadi pelumba Belanda pertama menjuarai perlumbaan F1.

“Verstappen seperti Ayrton Senna dan cara dia berfikir pada ketika itu sangat matang. Dia juga sangat profesional meskipun ketika itu baru berusia 17 tahun,” kata Marko.

PERSETERUAN Vertappen (kiri) dan Hamilton musim ini menyaksikan saingan F1 kembali rancak dan diminati oleh peminat sukan itu. – AFP

Dalam pada itu, Marko turut berpendapat bahawa Verstappen layak untuk menjuarai gelaran dunia atas apa yang dia pamerkan pada tahun ini dan Mercedes perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan mereka sendiri.

Tegas Marko, antara kesilapan yang dilakukan Mercedes ialah tidak mengarahkan pemandunya, Hamilton memasuki hentian pit untuk menukar tayar sebaik sahaja kereta keselamatan di arahkan masuk ke dalam litar.

“Mercedes melakukan kesilapan. Ketika itu, Mercedes mempunyai peluang ke pit tetapi tidak melakukannya. Jadi, itu adalah kesalahan yang mereka lakukan,” kata Marko.

Pemanduan agresif yang dipamerkan Verstappen pada musim 2021 berjaya menyekat dominasi pasukan Mercedes selepas menca­tat 10 kemenangan Grand Prix (GP) berbanding Hamilton yang meraih lapan kemenangan.

Melihat kepada statistik perlumbaan sepanjang tahun ini, ia kelihatan sangat memihak kepada Verstappen meskipun pe­rebutan gelaran dunia F1 2021 berakhir dengan kontroversi.

Pada musim ini, Verstappen mencatat 10 masa terpantas selepas berjaya menempah petak utama sepanjang saingan berbanding Hamilton yang hanya lima kali dapat memulakan perlumbaan di petak pertama.

Aksi cemerlang yang dipamerkan Verstappen musim ini sekaligus membantunya meraih 18 podium berbanding 17 yang dicapai Hamilton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI