fbpx

Buruh didakwa miliki pistol, terlibat rompakan berkumpulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Ridzuan (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini untuk menghadapi empat pertuduhan memiliki pistol, peluru, keris dan terlibat rompakan berkumpulan.

KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memiliki sepucuk pistol, peluru, sebilah keris dan terlibat dalam rompakan berkumpulan baru-baru ini.

Tertuduh, Mohamad Ridzuan Hussin, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol Revolver.38 Special CTG Heavy Barrel, Smith & Wesson.

Tertuduh didakwa mengikut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Ridzuan didakwa memiliki enam biji peluru berwarna perak bertulisan A USA 38 SPL tanpa permit senjata sah sekali gus menyalahi Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki sebilah keris berhulu dan bersarung kayu dengan ukuran lebih kurang 19 sentimeter tanpa kebenaran sah yang menyalahi Seksyen 6 Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1957.

Ketiga-tiga perbuatan itu dilakukan olehnya di dalam sebuah kereta Proton Persona di tepi tali air di Kampung Keting, Gunong, dekat Bachok kira-kira pukul 1.30 pagi, pada 2 November lalu.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sepucuk pistol terhadap, Ammar Hashim, 19, dengan melarikan sebuah motosikal jenis Yamaha 15ZR, sebuah telefon bimbit, wang tunai RM50, kad debit, kad pengenalan dan lesen memandu.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di tepi jalan di Kampung Pangkal Gong, Pulai Chondong, dekat Machang kira-kira pukul 6.15 petang, pada 29 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana memiliki sepucuk pistol menyalahi undang-undang selain lelaki itu turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Januari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI