fbpx

Kes buli: Pengajian 10 pelajar MRSM ditamatkan serta merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azhar.

PUTRAJAYA – Seramai 10 orang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terlibat dalam kejadian buli pada 10 Disember lalu telah ditamatkan pengajian mereka berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, pihak Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) menerusi satu mesyuarat yang diadakan telah mengambil keputusan tersebut selepas mengkaji kes berkenaan dengan teliti.

“Pihak MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) mahupun tajaan MARA.

“Ibu bapa pelajar yang terlibat juga telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

“Keputusan ini kita harap bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat tetapi juga kepada pelajar-pelajar yang lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.

“Kita di MARA tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima oleh masyarakat,” tegas beliau.

Tambah beliau, pihak MARA komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.

“Pemantauan secara berterusan dilaksanakan termasuklah segala aktiviti pelajar seperti proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang,” ujar beliau.  -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI