fbpx

Kes buli bagaikan satu kitaran hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NOR SYARIZA MUHD. TAHIR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

KES buli pelajar kembali menjadi topik hangat ketika ini. Video-video kejadian buli di sekolah menaikkan darah rakyat Malaysia dan disifatkan sebagai amat membimbangkan dan memerlukan perhatian serius daripada pelbagai pihak.

Bukannya setahun dua kejadian buli berlaku. Sudah berpuluh-puluh tahun, namun masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.

Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai mengapa kejadian ini tidak pernah selesai? Ini kerana, pada setiap tahun, pasti ada kes-kes baharu yang berlaku sehingga ada yang membawa kematian.

Pakar Psikologi, Universiti SEGi, Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ia berlaku disebabkan pengaruh budaya orientasi di sekolah atau institusi pengajian tinggi yang diamalkan oleh pelajar.

“Aktiviti orientasi tidak salah. Apa yang menjadi kesalahan adalah ada pelajar yang melaksanakannya secara bersendiri tanpa pengawasan guru atau warden, sekali gus menyebabkan mereka melakukan perbuatan yang mencederakan mangsa buli.

“Mereka mengherdik pelajar junior bagi memastikan para pelajar itu menghormati kumpulan senior selain mahu me­nunjukkan ‘kuasa’ atau ‘kekuatan’ masing-masing,” ujarnya.

Menurut Mariani, terdapat beberapa pihak yang menganggap buli sebagai amalan biasa yang dilakukan untuk mendewasakan atau menjadikan seseorang pelajar berjiwa kental.

“Ini yang menjadi masalah kerana banyak kes buli disembunyikan kerana ia dianggap bukan satu kejadian buli atau lebih buruk lagi, ada pihak-pihak yang mahu menjaga nama baik institusi terlibat,” tambahnya.

Menurut data Kementerian Kesihatan pada 2019, satu dalam enam remaja merupakan mang­sa kes buli dengan banyak kes berlaku dalam kalangan remaja tingkatan satu dan kemudiannya akan berkurangan apabila usia mereka meningkat.

Ini menunjukkan bahawa kes buli bagaikan satu kitaran yang mana ada mangsa buli dibuli di­sebabkan alasan yang tertentu.

Apabila mangsa semakin meningkat usia, mereka berkemungkinan membuli pula pelajar yang lain kerana mahu membalas dendam.

Ini diburukkan lagi de­ngan sikap ibu bapa yang tidak mengambil peduli mengenai hal anak-anak atau menunjukkan contoh yang tidak baik di rumah dengan mengasari serta memukul anak sehingga menyebabkan anak memberontak.

“Inilah sebabnya mengapa kes buli masih berlaku, kerana ia mempunyai kitaran yang melibatkan pelbagai pihak di sekeli­ling pelajar terbabit, termasuk ibu bapa dan guru.

“Justeru, ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik dengan menunjukkan keperibadian yang baik agar anak-anak tidak membesar menjadi individu yang suka memberontak dan melepaskan kemarahan terhadap orang lain,” kata Mariani.

Tambah beliau, bagi pihak sekolah pula, mereka perlu meme­gang teguh kepada prinsip, misi dan visi sekolah bagi memastikan kegiatan seperti itu tidak berlaku.

“Sekiranya ada pelajar yang didapati membuli, tindakan tegas perlu diambil dan jangan sembunyikan kes seumpama itu supaya pelajar lain tidak berani untuk melakukan perkara yang sama pada masa akan datang,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI