fbpx
Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Shukri (duduk tiga kanan depan) serta pengurusan JKR Selangor di Shah Alam. FOTO: AFIQ RAZALI

102 sekolah Selangor dapat bilik darjah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sebanyak 102 sekolah di Selangor dikenal pasti bagi pembinaan bilik darjah baharu untuk menampung kemasukan Murid Tahun 1 berusia enam tahun di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir. Shukri Ishak berkata, setakat ini sebanyak 41 iklan sebut harga telah dikeluarkan bagi melaksanakan projek tersebut.

“JKR menerima peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pelaksanaan kini sedang dipercepat, khususnya melibatkan sekolah berkepadatan tinggi di semua daerah.

“Kita sasarkan projek ini dapat disiapkan sebelum hujung tahun bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan pembukaan Kompleks Ibu Pejabat JKR Selangor.

Shukri bagaimanapun tidak memperincikan jumlah peruntukkan tersebut namun arahan telah dikeluarkan supaya iklan tender dan sebut harga dikeluarkan sebaik telah siap Bill of Quantities (BQ) serta dokumen tawaran.

Jelasnya, keutamaan diberikan kepada sekolah yang berdepan kekangan ruang dan pertambahan murid bagi memastikan kemudahan pembelajaran lebih selesa serta kondusif.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak akan memperluaskan penggunaan teknologi solar pada parkir berbumbung di empat buah JKR daerah pada tahun ini selepas menerima peruntukkan sebanyak RM1.37 juta daripada Kementerian Ekonomi.

“Ini selepas inisiatif dilaksanakan di Kompleks Ibu Pejabat JKR Selangor telah berjaya mencatatkan penjimatan bil elektrik sebanyak RM128, 000.

“Jadi, dengan perluasan inisiatif tersebut kita menjangkakan menjimatkan sehingga RM500,000 bagi bil elektrik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN