MADRID – Ketua jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui resah selepas pasukannya dibelenggu krisis kecederaan selepas dijangka kehilangan khidmat penyerang utama, Karim Benzema menjelang pertemuan getir menentang Atletico Madrid pada aksi La Liga awal pagi esok.
Sebagai rekod, Real kini berada pada prestasi terbaik untuk merampas gelaran La Liga daripada Atletico selepas gah mendahului carta dengan kelebihan 10 mata ketika saingan memasuki 16 perlawanan.
Ancelotti mengesahkan Benzema telah mengalami kecederaan pada aksi La Liga ketika bertemu Real Sociedad pada minggu lalu dan dijangka akan terus diketepikan tetapi pemain tengah, Casemiro diletakkan semula dalam kesebelasan utama.
“Selepas menjalani sesi latihan selama dua hari, saya dapat lihat pemain yang mengalami kecederaan seperti Casemiro sudah semakin pulih.
“Namun, pada masa sama khidmat Benzema mungkin terpaksa disisihkan kerana belum cergas sepenuhnya ekoran kecederaan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, tonggak pertahanan The Galacticos, Dani Carvajal menyeru agar barisan pemain bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan memandangkan ia adalah pertembungan setempat, selain perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.
“Sudah hampir dua tahun kita tidak melangsungkan perlawanan derbi menentang Atletico di Santiago Bernabeu. Sudah pasti ia akan menjadi aksi cukup istimewa buat pasukan.
“Mengenai perlawanan, saya harap barisan pemain dapat beri yang terbaik kerana sudah tentu tiga mata menjadi buruan dalam usaha mengukuhkan cengkaman di takhta pendahulu liga musim ini,” kata pemain antarabangsa Sepanyol itu. – AGENSI














