MIAMI – Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti memberi bayangan bahawa bintang sensasi, Neymar bakal kembali beraksi menjelang aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia 2026 menentang Scotland sekali gus menjadi suntikan moral penting buat skuad Samba.
Pemain berusia 34 tahun itu sebelum ini diketepikan akibat kecederaan betis dan kali terakhir beraksi bersama Santos pada 17 Mei lalu, namun perkembangan terbaharu menunjukkan dia semakin hampir untuk kembali ke padang.
Ancelotti mengesahkan Neymar sudah menyertai latihan penuh bersama pasukan dan berpeluang diturunkan ketika pertemuan penting menentang Scotland di Miami.
“Neymar menjalani latihan secara individu dan berlatih bersama pasukan. Dia akan bersedia untuk perlawanan menentang Scotland,” katanya.
Kehadiran semula Neymar pastinya memberi kelegaan kepada Brazil memandangkan pemain itu memainkan peranan besar ketika kempen kelayakan Piala Dunia apabila meledak dua gol dan mencipta tiga bantuan jaringan dalam empat penampilan.
Brazil kini memimpin Kumpulan C dengan empat mata selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Haiti, namun kedudukan itu masih belum selamat apabila Maghribi turut mengumpul jumlah mata sama selepas menewaskan Scotland 1-0.
Dalam masa sama, Ancelotti masih belum membuat keputusan sama ada akan terus menurunkan Matheus Cunha sebagai penyerang utama selepas pemain itu menjaringkan dua gol ketika menentang Haiti.
“Saya fikir posisi Matheus sangat baik untuk mencipta masalah kepada pertahanan lawan. Dia membuat hantaran dengan baik dan kedudukannya di bahagian serangan sangat berkesan,” jelasnya. – AGENSI














