MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Anthony Martial dilaporkan sudah bersedia untuk menamatkan kekecewaannya di Old Trafford apabila mengemukakan permohonan kepada kelab berkenaan untuk berhijrah.
Pemain dari Perancis itu gagal menembusi kesebelasan utama pasukan tersebut musim ini apabila hanya turun beraksi sebanyak dua kali dalam 15 perlawanan Liga Perdana Inggeris termasuk lima kali dimasukkan sebagai pemain gantian.
Dia juga sekadar beraksi selama 67 minit dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini ketika United mencatat kemenangan ke atas Villarreal sebelum ini.
Ejen pemain berusia 26 tahun itu, Philippe Lamboley memberitahu, Martial sudah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan United pada Januari ini.
“Dia hanya mahu mendapatkan lebih banyak peluang bermain. Dia mahu mendapatkan pasukan baharu pada Januari nanti,” katanya.
Barcelona dilaporkan antara kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya selepas Pengarah Bola Sepak, Mateu Alemany dan Ketua Pegawai Eksekutif kelab itu, Ferran Reverter sudah terbang ke Manchester untuk mengadakan rundingan mengenai potensi perpindahan Martial bulan lalu.
The Catalans terdesak untuk mendapatkan penyerang selepas Sergio Aguero berdepan masalah kesihatan, sementara pemain yang baharu dibeli, Luuk De Jong gagal memberikan impak. – AGENSI














